fbpx

Lee Zii Jia tersungkur dek penangan Srikanth

ZII JIA akur menahan keperitan tersingkir seawal pusingan pertama kepada pemain veteran India, Srikanth pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Osaka semalam.

AKSI tidak menentu terus ditampilkan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Osaka semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Maruzen Intec Osaka semalam, juara Asia itu tewas 20-22, 21-23 kepada pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari India, K.Srikanth.

Turun sebagai pilihan kelima, Zii Jia memulakan aksi set pertama dengan agak goyah apabila membenarkan lawannya itu menguasai permainan dan ­ketinggalan 11-14 sebelum mendahului 20-17.

Meskipun memiliki kelebihan tiga mata akhir, namun pemain No.4 dunia itu mensia-siakan peluang untuk ‘membunuh’ permainan lebih awal apabila membenarkan Srikanth mengutip lima mata berturut-turut untuk menang 22-20.

Memasuki set kedua, perlawanan berlangsung sengit apabila kedua-dua pemain saling bertukar servis serta berbalas sera­ngan, selain menyaksikan mereka mengekori rapat kedudukan masing-masing, namun tuah menyebelahi Srikanth untuk keputusan 23-21.

Kekalahan itu pastinya me­leburkan harapan peminat badminton tanah air selepas Zii Jia turut tersingkir di pusingan ke­tiga ketika menyertai Kejohanan Badminton Dunia yang berakhir Ahad lalu.

Prestasi bekas juara kejohanan Seluruh England (All England) itu dilihat sedikit merudum sejak kebelakangan ini selepas kali terakhir dia muncul juara pada kejohanan Terbuka Thailand Mei lalu.

Turut tersingkir pada kejohanan tersebut adalah beregu lelaki kebangsaan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas tewas 17-21, 21-18, 19-21 kepada gandi­ngan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Beregu No.12 dunia itu masih memburu gelaran kedua mereka pada saingan musim ini selepas menjulang kejuaraan Terbuka Jerman Mac lalu dengan menewaskan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou­ Xuan Yi 23-21, 16-21, 21-14.





Sumber: Kosmo!

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews