fbpx

KKM tidak tindas industri vape, serbuan ikut lunas undang-undang

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menjawab pertanyaan media selepas merasmikan program latihan pertolongan cemas dan penggunaan alat Automated External Defibrillator (AED) di Zoo Taiping hari ini. - Foto BERNAMA

BAGAN SERAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan melakukan penindasan terhadap pengusaha vape, susulan serbuan dan rampasan yang dibuat bulan lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata serbuan yang dibuat KKM itu bukan untuk menganiaya mana-mana pihak, sebaliknya untuk menjaga kebajikan rakyat.

“KKM tidak menindas sesiapa, kita nak jaga rakyat. Jadi, tindakan serbuan dan rampasan yang dibuat ada sebab tersendiri dan berdasarkan peraturan serta undang-undang sepatutnya.

“Bagaimanapun, perkara ini kita akan buat siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Latihan Pertolongan Cemas dan Penggunaan Alat Automated Extermal Deforbrillator (AED) di Zoo Taiping, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, melakukan demonstrasi pertolongan cemas selepas merasmikan program latihan pertolongan cemas dan penggunaan alat Automated External Defibrillator (AED) di Zoo Taiping, hari ini. – Foto BERNAMA

Ditanya mengenai akta vape, beliau menegaskan, ketika ini, belum ada undang-undang khas untuk mengawal industri itu, namun ia termaktub dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, yang akan dibahaskan pada sesi yang akan datang.

RUU itu antara lain menyamakan vape seperti rokok dan menggariskan dasar Generasi Penamat (GEG), yang akan mengharamkan industri vape pada masa hadapan.

Dr Noor Azmi berkata, KKM menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan berdasarkan peraturan terdahulu di bawah Akta Makanan 1983, bagi tindakan penguatkuasaan ke atas industri dan kegiatan merokok atau yang berkaitan dengan tembakau.

Terdahulu media melaporkan tindakan KKM yang melakukan serbuan dan rampasan ke atas industri vape, menjejaskan banyak operasi pengusaha vape di Lembah Klang dan memberi kesan kepada usahawan kecil dan sederhana, yang membabitkan kerugian jutaan Ringgit.

Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli, dilaporkan berkata, ramai pihak yang terbabit dalam industri itu juga tidak bersetuju dengan akta yang dibentangkan baru-baru ini, yang menyamakan vape seperti rokok serta cadangan dasar GEG (generasi penamat).

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria, dilaporkan berkata, siri serbuan yang dijalankan pihak berkuasa itu mengelirukan industri kerana ia tidak selaras dengan apa yang diumumkan kerajaan sebelum ini dan tindakan itu mengakibatkan ramai mengalami kerugian.

Katanya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini menyatakan hasrat KKM untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan vape.

Sementara itu KKM turut menyarankan setiap premis besar perlu mempunyai peralatan AED bagi menghadapi sebarang kecemasan.







Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews