KUALA LUMPUR: Saingan Liga Super kembali menjadi tumpuan dunia apabila aksi antara Selangor FC (SFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) mencuri tumpuan portal bola sepak antarabangsa, BBC Sport.
Namun bukan corak permainan ataupun gol bertaraf Puskas yang diperkatakan, sebaliknya sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria kepada skuad Harimau Selatan pada aksi terbabit.
Sepakan penalti itu diberikan Zulkarnain susulan tindakan Yazan Al Arab yang mengasari Arif Aiman Hanapi pada minit ke-29 dan sepakan penalti itu disempurnakan Bergson da Silva sekali gus membolehkan JDT mendahului perlawanan.
BBC Sport memberi cadangan bahawa Liga Super memerlukan Video Bantuan Pengadil (VAR) dengan hantaran itu turut disertakan dengan klip pendek kekasaran Yazan ke atas Arif Aiman yang menyebabkan JDT diberikan sepakan penalti.
Setakat jam 10 pagi ini, hantaran menerusi akaun Facebook BBC Sport itu mendapat lebih 2,000 tanda suka, hampir 800 komen selain turut dikongsi sebanyak hampir 600 kali.
Hantaran terbabit mengundang pelbagai maklum balas daripada pelayar Internet namun BBC Sport terpaksa ‘menelan’ kepahitan selepas penggunaan VAR diselar penyokong susulan kontroversi yang timbul menerusi teknologi terbabit.
Antara komen yang dikeluarkan oleh Bamituni Abamu berbunyi ‘iya, saya nampak bagaimana VAR membantu (keputusan perlawanan) selepas menyaksikan beberapa perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Brian Redford berkata ‘VAR di EPL juga akan memberikan keputusan yang sama’ sementara Ronnie McLay berkata ‘(VAR) tak berfungsi di England jadi mengapa mereka mahu menggunakannya?’
Selain itu, ada juga yang bersetuju penalti itu sepatutnya diberikan dengan Linton Vickers berkata ‘bagaimana anda katakan ia bukan penalti? Pemain memijak tumit kiri pemain lawan dengan kaki kanannya, ia berlaku dengan sangat jelas.
Ryan Crawley berkata ‘pertahanan melakukan kekasaran di bahagian tumit penyerang, jadi ia adalah penalti.’
Bagaimanapun, ada juga penyokong dipercayai penyokong tempatan mengambil kesempatan untuk ‘menyakat’ pasukan JDT di ruangan komen hantaran terbabit.
Antara komen paling popular adalah ‘beginilah caranya mereka memenangi kejuaraan Liga Super lapan kali berturut-turut’ serta ‘pasukan baju biru itu adalah satu-satunya pasukan yang meminta sepakan penalti dalam setiap perlawanan Liga Super.
Selain itu, komen seperti ‘ini liga sarkis’, ‘ini liga ana yang punya’ dan ‘selalu mendapat penalti dengan bantuan pengadil botak’ turut ditulis oleh pelayar Internet.
Sumber: Berita Harian