fbpx

Amalan rasuah di Malaysia pada skala bahaya – Sultan Nazrin

FOTO: BERNAMA (2021)

SHAH ALAM: Amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, semua pihak tidak boleh memandang ringan, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata.

“Oleh yang demikian kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi, bersilat dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata.

“Penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur, secara ikhlas, secara objektif, secara fakta, dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.

“Kita wajib bersifat berani mengakui, realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan berulang kali teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee),” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku tulisan Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’.

Titah baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui bahawa sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran dan penemuan PAC.

Ini kerana menurut baginda, pelakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma sebelum meresap menjadi budaya yang akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa apabila tiada kesungguhan membanteras jenayah itu.

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diwarwarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

“Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah, rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews