fbpx

Malaysia perlu 8,000 pakar perubatan keluarga – Noor Hisham

KOTA KINABALU: Malaysia memerlukan tambahan kira-kira 8,000 pakar perubatan keluarga untuk ditempatkan di seluruh negara bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa ini, terdapat hampir 1,100 pakar perubatan keluarga di negara ini dan 700 orang berkhidmat dalam sektor kesihatan awam dan selebihnya dalam sektor swasta.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya dua pakar perubatan keluarga di setiap klinik kesihatan seluruh negara.

Walau bagaimanapun, pada masa ini, negara masih kekurangan pakar perubatan keluarga maka, usaha perlu diambil bagi meningkatkan lagi jumlah pakar perubatan menerusi kerjasama dengan pelbagai kolej perubatan.

Antaranya, program perubatan Ijazah Sarjana Perubatan Keluarga di universiti tempatan yang boleh melahirkan kira-kira 100 hingga 120 graduan setiap tahun.

Melalui kerjasama kolej swasta pula, setakat ini, seramai 300 graduan perubatan keluarga berjaya dilahirkan.

“Malah, kita boleh bekerjasama dengan kolej-kolej luar negara bagi meningkatkan jumlah pakar-pakar perubatan keluarga. Biasanya, pakar yang tamat pengajian di kolej luar negara turut diiktiraf di negara lain, bukan hanya Malaysia.

“Jadi, penting bagi kita mendapat pakar perubatan keluarga yang diiktiraf oleh banyak negara,” katanya selepas perasmian Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga Ke-24 peringkat kebangsaan hari ini.

Apabila pakar perubatan keluarga ditempatkan di klinik-klinik kesihatan maka, bekalan ubat-ubatan juga tidak lagi tertumpu di hospital.

Menurut beliau, pada peringkat awal, hanya ada 42 fasiliti kesihatan mempunyai pakar perubatan dan jumlah itu bertambah secara berperingkat.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM juga menyasarkan untuk melatih lebih ramai pegawai perubatan di Sabah untuk menjadi pakar perubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pakar dari Semenanjung Malaysia.

Namun, mereka memerlukan masa empat tahun untuk melatih doktor yang boleh menjadi pakar perubatan.

Justeru, kerajaan negeri juga diharap memainkan peranan menawarkan biasiswa untuk menggalakkan lebih ramai doktor menjadi pakar.

Sumber: Utusan

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews