fbpx

Jual RON95 kepada warga asing, 29 pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan

Photo: mof.gov.my

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan ke atas 29 pengusaha stesen minyak kerana menjual minyak petrol RON95 kepada warga asing di seluruh negara.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata kes tertinggi penjualan minyak petrol RON95 kepada pemilik kenderaan asing adalah di Johor iaitu sebanyak 10 kes, Kelantan (lapan), Kedah (lima), Sarawak (tiga), Perlis (dua) dan satu kes di Melaka.

Katanya, KPDNHEP menerima aduan sebanyak 52 mengenai kes penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan asing sejak awal tahun hingga semalam.

“Daripada pemeriksaan dan siasatan berdasarkan aduan itu, sebanyak 29 kes berjaya dihasilkan di seluruh negara.

“Antara kesalahan dikesan dilakukan pengusaha stesen minyak itu adalah pelanggaran mengikut Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya kepada BH Online ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab apabila mendakwa KPDNHEP gagal mengambil tindakan ke atas pengusaha minyak yang menjual minyak petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan asing.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pengusaha stesen minyak dilarang menjual minyak bersubsidi itu kepada semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing.

“Kita tidak berdiam diri, sebaliknya pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan bahan bakar itu tidak dijual sewenangnya kepada pemilik kenderaan asing, selepas pembukaan penuh sektor ekonomi dan pintu sempadan negara sejak April lalu.

“Aktiviti lebih agresif dilakukan oleh pegawai dan anggota penguat kuasa melalui Ops Pantau,” katanya.

Azman berkata, bagi memastikan tiada ketirisan penjualan minyak petrol RON95 dan diesel, KPDNHEP sedang mempergiatkan penguatkuasaan untuk memastikan semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi bahan bakar itu.

Bagaimanapun, katanya, pemilik kenderaan asing dibenarkan untuk mengisi minyak RON97 di semua stesen minyak di seluruh negara.

“Pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala RM3 juta jika melakukan kesalahan berikutnya.

“Orang perseorangan yang didapati bersalah menjual minyak petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan asing boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Azman berkata, syarikat yang didapati bersalah menjual kedua-dua bahan bakar itu pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala RM5 juta jika melakukan kesalahan kedua.

Katanya, KPDNHEP tidak akan berkompromi dan menegaskan kepada semua pihak terutama pengusaha stesen minyak agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas.

“Selain memantau melalui kamera litar tertutup (CCTV), orang ramai juga diminta memberi kerjasama dengan membuat laporan kepada KPDNHEP,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews