fbpx

Tenis: Kakak tewaskan adik untuk raih emas Sukma

ATLET tenis Terengganu Sara Alisha Nayar berdepan detik ‘gembira dalam duka’ selepas menewaskan adiknya Anja Samia Nayar, sekali gus meraih emas acara tenis perseorangan wanita Sukan Malaysia (Sukma) MSN ke-20 pada Jumaat.

Pada perlawanan final berlangsung di Kompleks Sukan Jalan Duta, pertemuan pasangan beradik mewakili kontinjen Terengganu itu mempamerkan permainan cukup menarik sebelum Sara Alisha, 21, mendahului perlawanan set pertama dengan keputusan 6-1.

Tidak diberikan laluan mudah kepada kakaknya, Anja Samia, 17, bangkit di set kedua dan seketika berjaya mendahului 1-2 sebelum dominasi itu ditamatkan menerusi kemenangan Sara Alisha 7-4 dalam perlawanan berlangsung lebih sejam itu.

“Pengalaman yang pahit dan manis buat saya, namun sudah pasti saya gembira untuk menang namun turut sedih kerana kalahkan adik (Anja). Kami bermain dengan baik sekali di final ini.

“Jika diikutkan berlawan dengan Anja lebih sukar, kerana dia merupakan pemain pilihan pada Sukma ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Bekas atlet kebangsaan itu dalam masa sama memaklumkan, kemenangan diraihnya sekali gus menebus pingat emas yang tidak berjaya dibawa pulang pada Sukma 2016 di Sarawak selepas hanya meraih perak bagi acara itu.

Dalam pada itu bagi kategori lelaki menyaksikan atlet tenis Perak Mitsuki Leong Wei Kang meraih emas acara itu selepas menewaskan atlet Selangor Darrshan Suresh 6-0, 7-5 untuk meraih perak.

Sumber: Sinar Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews