fbpx

Kerajaan diminta naik taraf aset tentera, berusia dan usang

Foto: MaterielMkTL

KOTA KINABALU: Kerajaan diminta menambah bajet pertahanan bagi menaik taraf aset ketenteraan yang semakin berusia dan usang.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, berharap Bajet 2023 yang akan dibentangkan juga akan memberi tumpuan pada perolehan aset baharu, terutama keupayaan aset tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Penambahan bajet pertahanan ini amat kritikal. Markas Pemerintahan Armada Timur amat bersetuju dengan kenyataan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, yang mencadangkan peningkatan bajet pertahanan 2023 kepada 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Isu aset usang ini adalah cabaran utama yang didepani oleh TLDM dalam usaha mengatur gerak asetnya secara maksimum. Ia tidak akan berlaku jika kerajaan menyediakan peruntukan pertahanan yang mencukupi pada setiap tahun.

“Bajet pertahanan perlu diibaratkan seperti membeli polisi insurans kepada keselamatan negara. Keselamatan negara akan berdepan risiko yang tinggi jika kerajaan hanya membeli polisi yang minimum. Kesannya akan lebih merugikan kerajaan bila negara berdepan krisis keselamatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sabri dalam kenyataannya berkata, dengan perubahan landskap ancaman maritim semasa dan campur tangan kuasa besar di Laut China Selatan, TLDM sangat memerlukan aset berkeupayaan tempur.

Ketika ini, katanya, aset di bawah Armada Timur juga ketika ini hanya terdiri dari Flotilla Ronda, yang tidak dilengkapi keupayaan tempur seperti sistem persenjataan, radar pengawasan serta penjejak dan peluru berpandu.

“Justeru, perolehan aset baharu seperti Littoral Combat Ship dan Littoral Mission Ship kumpulan kedua amat kritikal bagi TLDM mengalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun aset sedia ada bukan pada tahap terbaik, Armada Timur akan kekal komited dan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Janji TLDM dizahirkan melalui Eksesais KERISMAS 27/2022 yang sedang berlangsung di Laut China Selatan. Ketika ini, 23 aset dari Armada Timur dan Barat berada di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk menjalani latihan tahunan intra-TLDM ini,” katanya.

Tambahnya, eksesais tahunan itu menguji tahap kesiagaan aset TLDM dan kecekapan warga kapal dalam melaksanakan operasi maritim serta menilai sistem sokongan bahagian logistik TLDM.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews