fbpx

Bekalan makan cukup semasa banjir, tiada kenaikan harga

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan makanan cukup sepanjang musim tengkujuh yang diramalkan pada hujung tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, ini kerana persediaan menghadapi banjir atau dalam apa juga keadaan yang memerlukan sudah dilakukan.

Jelasnya, beberapa inisiatif dilakukan contohnya bagi produk perikanan dan sayuran, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan telah menyediakan stok ikan untuk dikeluarkan pada musim tengkujuh.

“Sementara bagi produk pertanian pula, kita telah mengadakan program kolaborasi yang bertujuan untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil dan juga jualan ke pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kolaborasi Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di sebuah hotel pada Khamis.

Menurutnya, Jabatan Perikanan juga dalam proses untuk menambah lagi lesen nelayan laut bagi meningkatkan hasil laut bertujuan disimpan di tempat simpanan antaranya di Mersing dan Endau.

“Sementara di Segamat, kita mahu jadikan ia sebagai daerah bagi hasil pertanian, selain menambah lebih banyak lagi kawasan penanaman, pertanian dan penternakan termasuk yang baharu dibina di Kulai dan Desaru,” ujar beliau.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu menjangkakan tidak akan berlaku sebarang kenaikan harga barangan keperluan asas melibatkan hasil pertanian dan produk laut menjelang musim tengkujuh.

Mengenai program kolaborasi tersebut, Zahari berkata, seramai 81 peserta terlibat terdiri daripada 19 syarikat peneraju serta 62 pengusaha tanaman dan industri asas tani terlibat.

Katanya, program kolaborasi itu adalah jalinan kerjasama antara syarikat peneraju serta pengusaha tanaman dan industri asas tani melalui urusan jual beli, hasil produk pertanian dan seterusnya mengadakan perladangan kontrak.

“Pengusaha berperanan selaku pembekal hasil pertanian yang mencukupi dan berkualiti manakala syarikat peneraju beroperanan sebagai pemborong dan pemasar bagi pasaran tempatan atau eksport,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews