fbpx

Selangor guna balai penghulu jadi pos pangkalan hadapan hadapi MTL

SHAH ALAM: Selangor akan menggunakan beberapa balai penghulu atau aset kerajaan negeri untuk dijadikan pos pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pangkalan hadapan itu akan dijadikan lokasi penempatan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi atau badan lain yang akan berkhidmat bagi proses penyelamatan terhadap sebarang kemungkinan bencana.

“Kita akan mengenal pasti beberapa balai penghulu atau aset kerajaan negeri yang boleh dijadikan pangkalan hadapan bagi agensi yang akan terbabit dalam proses penyelamatan jika berlaku bencana dalam lokaliti.

“Pangkalan hadapan ini juga persediaan awal supaya kita tidak terlalu jauh menggerakkan aset (sekiranya berlaku bencana banjir),” katanya pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JPBM Selangor menghadapi MTL di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih kepada JBPM Selangor kerana meningkatkan kemudahan dan aset jabatan itu dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika MTL.

Katanya, JBPM Selangor turut membantu kerajaan negeri melengkapkan proses persediaan dengan melatih 40 sukarelawan Selangor Volunteer (SERVE) dalam mendapatkan latihan asas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Bomba sudah kenal pasti pasukan mereka termasuk pasukan Bomba Sukarela; Bomba Komuniti dan kita tambah lagi dengan sukarelawan SERVE supaya semua lebih bersedia.

“Pasukan badan bukan kerajaan (NGO) ini juga boleh terbabit dalam proses SAR yang sedikit berbahaya dan perlukan latihan asas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pada peringkat awal pihaknya diberi amanah dan tanggungjawab melatih 40 sukarelawan untuk mengendali mangsa banjir.

“Mereka akan dilatih untuk mengenal pasti risiko air banjir yang berarus dan sebagainya, selain turut diajar bantuan pernafasan asas jika berlaku lemas.

“Latihan ini berlangsung selama empat hari bermula esok. Mereka akan menginap di BBP Shah Alam dan kita akan bawa ke lokasi air di kawasan Puchong untuk latihan,” katanya.

Beliau berkata, sukarelawan akan membantu termasuk menjadi yang terawal bertindak sebelum ketibaan pasukan bomba bagi membantu pemindahan.

“Ini kumpulan pertama dan mungkin akan bertambah keahliannya. Kita juga akan menempatkan 10 pegawai dan anggota untuk mengurus latihan pada satu-satu masa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews