fbpx

TH utamakan bakal haji tersenarai tunai ibadat pada 2020, 2021

— Bernama pic

KUALA LUMPUR: Keutamaan haji tahun depan akan diberi kepada bakal haji yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada 2020, diikuti 2021 dan 2022, seterusnya mengikut prinsip sistem pendaftaran sedia ada.

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, pada setiap musim haji terdapat kekosongan disebabkan permohonan untuk menangguh giliran haji atas pelbagai sebab seperti kesihatan dan pendidikan anak.

“Kekosongan ini akan diisi dengan senarai jemaah yang menunggu atau pertimbangan diberi kepada mereka yang membuat permohonan rayuan.

“Pemilihan rayuan haji dilakukan berpandukan kriteria tertentu dengan rayuan mahram diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

TH menggunakan sistem pendaftaran haji terbuka sedia ada berdasarkan konsep ‘Mendaftar Dahulu, Didahulukan” sejak 1995. Melalui sistem pendaftaran terbuka ini, pendeposit TH boleh mendaftar menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1,300.

Katanya, setiap pendeposit yang mendaftar akan diberi tahun giliran menunaikan haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

“Kini seramai 3.8 juta pendeposit TH mendaftar dan menunggu giliran untuk menunaikan Rukun Islam kelima,” katanya.

Ibadah haji rakyat Malaysia terpaksa ditangguh selama dua tahun kerana pandemic COVID-19. Kuota haji Malaysia dan lain-lain negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Buat masa ini, Kerajaan Arab Saudi masih belum menetapkan kuota haji rasmi dan syarat pemilihan bakal jemaah haji untuk musim haji 1444 Hijrah.

Kerajaan Arab Saudi kini giat membangunkan dua kota suci Makkah dan Madinah bagi meningkatkan fasiliti dan kapasiti jemaah bertujuan memberi keselesaan kepada jemaah haji dan umrah pada masa depan.

Berdasarkan Visi 2030 Kerajaan Arab Saudi, jumlah jemaah haji disasarkan meningkat kepada 5.4 juta menjelang 2030.

TH juga optimis jumlah jemaah haji negara akan meningkat, sekali gus membolehkan masa menunggu untuk menunaikan haji dapat dipendekkan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews