fbpx

Dipenjara 8 bulan tipu dapatkan gelaran Datuk

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang lelaki kerana menipu peniaga bagi mendapatkan gelaran Datuk daripada kerajaan Melaka, dengan bayaran RM100,000.

Peniaga, Abdullah Shafiq Abdul Rahman, 36, dikenakan hukuman itu, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun, yang turut memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkapan iaitu 5 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Shafiq didakwa menipu wanita berusia 57 tahun, dengan memperdayakannya supaya membuat bayaran sebanyak RM100,000 secara dalam talian ke akaun Maybank milik tertuduh, bagi mendapatkan gelaran itu.

Mangsa juga tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan dilakukan di sebuah pasar raya di Jalan Tun Ismail, Dang Wangi, pada 4 Oktober lalu dan pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, selain mengambil kira keberanian tertuduh menggunakan nama istana untuk melakukan penipuan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan keluarga.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews