fbpx

Rasuah: Bekas hakim dipenjara 6 bulan

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM25,000 terhadap seorang bekas hakim Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tuduhan menerima suapan daripada enam tertuduh, empat tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali juga memerintahkan Azmil Muntapha Abas, 48, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan, jika tertuduh yang sebelum ini berkhidmat di Kuala Kubu Bharu, gagal menjelaskan denda.

Bagaimanapun, Rasyihah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda kerana ingin merayu ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 10 Mei 2018 sebagai seorang ejen penjawat awam iaitu Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor memperoleh suatu barang berharga untuk dirinya iaitu wang tunai RM5,000 tanpa suatu balasan.

Ia yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam prosiding berkaitan dengan dirinya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam orang tertuduh yang melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dengan menjatuhkan hukuman denda terhadap mereka semua.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Setia Alam 2, Selangor dan dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman pillai, Maziah Mohaide dan Mohd Shahrom Idris.

Hakim kemudian membenarkan penangguhan hukuman sehingga notis rayuan difailkan selewatnya pada 21 Oktober dengan wang jamin mahkamah RM12,000.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews