fbpx

MASwings tamat operasi laluan Tawau-Tarakan

KOTA KINABALU: MASwings akan menamatkan operasi syarikat penerbangan itu bagi laluan antarabangsanya yang menghubungkan Tawau, Sabah, dengan Tarakan di Kalimantan Timur, Indonesia, berkuat kuasa 30 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasi MASwings, Kapten Nasaruddin A Bakar, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas penerbangan ke negara jiran itu ditangguhkan sejak 22 Mac 2020.

Ketika itu, beliau berkata, penerbangan tiga kali seminggu Tawau-Tarakan dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan antarabangsa yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

“Selepas melakukan semakan perniagaan secara terperinci, kita terpaksa mengambil keputusan yang sukar untuk menamatkan operasi MASwings ke Tarakan.

“Walaupun usaha diambil bagi mengekalkan operasi berikutan pembukaan semula sempadan, situasi pengoperasian sangat mencabar dan tidak lagi memberi keuntungan komersial untuk MASwings kembali beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasaruddin memaklumkan sejak memulakan operasi ke Tarakan pada Februari 2012, MASwings merekodkan jumlah pengisian penumpang pesawat pada kadar sederhana yang membolehkannya mengekalkan operasi di laluan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, krisis COVID-19 yang memberi kesan kepada perniagaan dan ekonomi global, khususnya syarikat penerbangan, turut dialami anak syarikat Malaysia Airlines yang menyediakan perkhidmatan udara di luar bandar Sabah dan Sarawak itu.

“Kemerosotan permintaan pengembaraan disebabkan larangan dan ketidakpastian perjalanan walaupun selepas pasaran beransur-ansur menunjukkan pemulihan, memberi kesan besar terhadap keupayaan MASwings untuk meneruskan operasi ke Tarakan,” katanya.

Beliau berkata, MASwings merekodkan terima kasih dan penghargaan kepada pelanggan serta pihak berkepentingan yang menyokong MASwings serta operasinya ke Tarakan sejak 2012.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews