fbpx

Tahap keselamatan tertinggi sepanjang GP Malaysia – PDRM

SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan aspek keselamatan pada tahap tertinggi bagi memastikan kelancaran saingan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bermula esok.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman berkata sebanyak 650 anggota ditugaskan bagi memantau keselamatan pengunjung yang hadir menyaksikan perlumbaan berprestij itu dengan 120 daripadanya dikhaskan bagi mengawal lalu lintas.

“Kita bagi penugasan penuh. (GP Malaysia) tidak bertindih dengan apa-apa acara lain jadi kita beri tumpuan sepenuhnya…kita dapat bantuan daripada unit udara iaitu helikopter untuk kelancaran trafik selain bantuan daripada FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan).

“Jalan akan jadi sesak ada lebih kurang 60,000 (pengunjung) dan kita jangka dalam masa dua hingga tiga hari jumlah tiket terjual lebih banyak. Untuk kurangkan kesesakan jalan raya, kami nasihatkan boleh gunakan pengangkutan awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau menasihati pengunjung yang memandu sendiri ke Litar Sepang supaya meletakkan kenderaan di tempat disediakan dengan tiada sebarang bayaran dikenakan pihak SIC sepanjang tiga hari saingan.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengunjung yang memarkir kenderaan di bahu jalan.

“Kami minta kerjasama untuk kelancaran lalu lintas… parkir kenderaan di tempat disediakan, parkir tahun ini percuma. Saya juga ingin maklumkan kepada pengembara yang mahu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, atur perjalanan lebih awal,” katanya.

GP Malaysia yang kembali selepas dua tahun tidak dianjurkan susulan pandemik COVID-19 akan membuka tirai saingan dengan sesi ujian bebas esok, diikuti sesi kelayakan (Sabtu) dan hari perlumbaan pada Ahad.

Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews