fbpx

Peng Soon gantung raket?

Malaysia’s mixed doubles Chan Peng Soon - Cheah Yee See in the training session for Malaysia Open 2022 at the Axiata Arena in Kuala Lumpur yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

KUALA LUMPUR: Adakah pemain beregu campuran berpengalaman negara, Chan Peng Soon akan mengumumkan persaraan dalam masa terdekat?

Persoalan itu timbul selepas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu bersama pasangannya, Cheah Yee See sekali lagi gagal menghasilkan keputusan positif dalam dua kejohanan di Eropah – Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Malah, Peng Soon yang berusia 34 tahun turut memuat naik hantaran di Instagram miliknya dan berkata: “Selamat tinggal Paris, lain kali saya jumpa anda, ia akan menjadi identiti yang berbeza,” katanya.

Peng Soon-Yee See yang mula digandingkan pada Jun lalu masih bergelut untuk membentuk kombinasi ampuh apabila menyaksikan mereka tersingkir di pusingan pertama di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Keputusan itu menyaksikan pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah mara sehingga suku akhir Terbuka Vietnam, September lalu.

Enam kejohanan sebelum itu – Masters Indonesia, Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia, Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Jepun – menyaksikan mereka turut tersingkir di pusingan awal.

Peng Soon-Yee See juga menarik diri daripada saingan Terbuka Hylo di Jerman yang bermula, hari ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky ketika ditanya mengenai masa depan Peng Soon tidak menolak kemungkinan pemain itu akan bersara.

Katanya, akan ada satu pertemuan dilakukan membabitkan drinya bersama Peng Soon-Yee See dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dalam minggu ini bagi membincangkan mengenai masa depan pemain berpengalaman negara itu.

“Peng Soon sebelum ini ada memberitahu saya, selepas kejohanan di Eropah, kalau keputusan tidak bagus dia memang sudah ada perancangan.

“Mungkin dia bersara, tetapi bergantung, tidak pasti bila dia akan berjumpa Datuk Kenny, daripada cara dia bercakap dia mungkin sudah ada keputusan.

“Jadi, kita harus mencari jalan untuk mencari gandingan baharu buat Yee See. Kita masih ada Choong Hong Jian, Chen Tang Jie, Hoo Pang Ron,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, Rexy mengesahkan peletakan jawatan pemain beregu campuran negara, Peck Yen Wei selepas 10 tahun bersama BAM.

“Dia sudah maklumkan saya dari awal, selama ini dia bergelut dengan kecederaannya, jadi dia mahu mencuba perkara baharu selepas ini, di samping memberi peluang kepada pemain muda. Bukan kita tidak mahu dia, kita mahu, bahkan saya dan Datuk Kenny cuba memujuk dia, tetapi dia sudah membuat keputusan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews