fbpx

Padang dalam keadaan baik, cuaca bagus

KUALA LUMPUR: Dua finalis Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC tampak tidak akan bergelut dengan keadaan padang sekali gus dapat memperagakan aksi bertenaga malam ini.

Ini selepas permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil terjaga dengan rapi selepas keseluruhan padang dilindungi dengan kanvas.

Tindakan itu jelas satu keputusan yang tepat bagi mengelak permukaan padang menjadi seperti ‘sawah’ sekiranya hujan turun pada malam ini.

Justeru, keadaan padang yang baik pasti melegakan kedua-dua pasukan dan mereka mampu beraksi pada tahap terbaik mengikut perancangan yang sudah diatur barisan kejurulatihan masing-masing.

Setakat jam empat petang tadi, cuaca di sekitar Stadium Nasional baik dan hanya hujan buat tempoh singkat sekitar jam 3 petang.

Sebagai rekod, pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mengambil langkah proaktif apabila meminjamkan kanvas untuk menutup padang stadium ini sebelum final Piala FA 2022, September lalu.

Sebelum ini, padang Stadium Nasional rosak teruk pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 sekali gus menyebabkan tindakan drastik dilakukan pihak Perbadanan Stadium Malaysia(PSM) untuk memperbaikinya.

Malah, situasi terbabit turut mengundang pelbagai kecaman pelbagai pihak kerana stadium berharga ratusan juta ringgit itu tidak perlu berhadapan masalah terbabit hingga terpaksa menggunakan penyodok untuk membuang air bertakung.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews