fbpx

MAHB catat 8.3 juta pergerakan penumpang pada Oktober 2022

KUALA LUMPUR: Pergerakan penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi rangkaian lapangan terbangnya terus berkembang kukuh dengan 8.3 juta pergerakan direkodkan pada Oktober 2022, mencecah 71.1 peratus daripada paras pada Oktober 2019.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu berkata pemulihan trafik Malaysia memberi sumbangan besar kepada peningkatan jumlah pergerakan penumpang kumpulan pada bulan tersebut, yang menyumbang 65 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Prestasi lapangan terbang tempatan terus dipacu oleh kelonggaran protokol penerbangan di seluruh rantau, disokong oleh kekerapan tambahan syarikat penerbangan dan pengenalan laluan baharu.

Trafik Malaysia merekodkan lebih daripada lima juta penumpang bagi bulan kedua berturut-turut (5.4 juta pergerakan penumpang bagi Oktober 2022), mencecah 63.2 peratus daripada paras pada Oktober 2019.

“Pergerakan penumpang antarabangsa merekodkan 2.1 juta penumpang, melepasi dua juta penumpang buat pertama kali sejak Mac 2020, manakala sektor domestik mencatatkan 3.3 juta pergerakan penumpang pada Oktober 2022,” kata MAHB.

Sementara itu pergerakan penumpang di Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (SGIA) berjumlah 2.9 juta pada Oktober 2022, menghampiri paras sebelum COVID-19 dan mencecah 92.6 peratus daripada paras pada Oktober 2019.

Pergerakan penumpang antarabangsa berjumlah 1.6 juta dan kekal stabil di atas paras 1.5 juta bagi tempoh tiga bulan lepas.

“Pergerakan penumpang domestik mencatatkan 1.4 juta penumpang dan berada pada 74.2 peratus daripada paras pada Oktober 2019,” kata pengendali lapangan terbang itu.

Keseluruhannya, MAHB merekodkan 66.5 juta pergerakan penumpang dalam tempoh sepuluh bulan pertama 2022, mencecah 56.9 peratus daripada paras pada tempoh yang sama pada 2019.

Syarikat itu berkata, pengumuman oleh China baru-baru ini untuk melonggarkan langkah-langkah sekatan COVID-19 memberikan keyakinan terhadap sektor penerbangan terutamanya di Asia Pasifik, kerana ia menandakan kesediaan republik itu untuk kembali normal semula secara berperingkat.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews