fbpx

Polis terima 220 aduan penipuan skim ‘Pelaburan Zuttelo’, kerugian RM84.6 juta

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 220 laporan di seluruh negara berhubung skim penipuan ‘Pelaburan Zutello’ yang mengakibatkan kerugian RM84.6 juta.

Setakat ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang menyiasat kes berkenaan mendapati skim penipuan ini mula aktif sejak tahun ini.

Setiausaha Polis Malaysia, Bukit Aman, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata laman web syarikat pelaburan ini dikesan ditutup sekitar Ogos lalu.

“Skim pelaburan ini menawarkan sembilan pakej pelaburan dengan jumlah pelaburan antara AS$630 hingga AS$12,700.

“Setiap pelaburan dijanjikan pulangan minimum sebanyak 16.5 peratus sebulan dan mana-mana pelabur yang berminat perlu mendaftar melalui aplikasi www.8liga.net dan diberi pilihan sama ada untuk melabur dalam bentuk wang tunai atau matawang kripto.

“Setakat ini, jumlah kerugian membabitkan pelaburan ini berjumlah RM84,579,831.76,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pelaburan, pihak PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci daripada sumber rasmi.

“Semakan boleh dibuat di Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa juga skim pelaburan,” katanya.

Media pada 5 Disember lalu melaporkan, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata sindiket penipuan Pelaburan Zutello didakwa sudah menjerat kira-kira 10,000 mangsa dengan kerugian kira-kira RM3 bilion dalam tempoh dua tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada ratusan mangsa penipuan itu dan difahamkan sindiket bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan majoriti mangsa membabitkan masyarakat Cina termasuk warga emas.

Katanya, mangsa ditawarkan skim pelaburan pelbagai pakej termasuk disertakan insurans dengan kadar pulangan dividen tinggi iaitu sekitar 17 peratus sebulan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews