fbpx

KBS masih berbincang isu 21,000 tiket aksi Malaysia-Thailand

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih dalam perbincangan bagi mencari mekanisme terbaik berhubung isu kuota 21,000 tiket yang terpaksa ‘dikorbankan’ membabitkan aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata pihaknya masih belum dapat memberi jawapan sama ada kuota berkenaan boleh dikembalikan semula kerana masih di peringkat perbincangan bersama PSM.

“Saya sudah diberi taklimat berkenaan masalah yang kita hadapi Sabtu ini dan kita sudah berbincang dengan perbadanan stadium. Kita masih dalam proses perbincangan. Itu sahaja yang saya boleh cakap ketika ini

“Perbincangan ini tentang masalah yang kita ada, pertembungan dua acara besar dalam masa satu minggu.

“Bukan saya tidak mahu cakap tetapi kita sedang berusaha, jadi saya harap semua faham,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil, di sini hari ini bersama timbalannya, Adam Adli Abdul Halim.

Sebelum itu, Hannah turut membuat tinjauan di Stadium Nasional bagi mendapatkan gambaran terkini keadaan stadium bersama PSM.

Penyokong skuad Harimau Malaya sebelum ini meluahkan kekecewaan mereka dengan pengumuman hanya 59,000 tiket dijual bagi menyaksikan aksi separuh akhir pertama menentang Thailand itu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa mengambil tindakan sedemikian selepas 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang struktur pentas konsert artis Taiwan, Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Konsert berkenaan dijadual berlangsung pada 15 Januari ini.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan BH Sukan mendapati pemasangan pentas sedang giat dijalankan, sekaligus harapan untuk melihat 21,000 tempat duduk yang dikosongkan kembali dijual kepada peminat bola sepak tanah air dalam tempoh 48 jam adalah amat sukar untuk direalisasikan menjelang sepak mula Sabtu ini.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews