fbpx

Ikan koi, ikan emas cuba diseludup dari Singapura dirampas

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor mematahkan cubaan menyeludup masuk hiasan dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini semalam.

Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof, berkata ia hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa MAQIS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) pada jam 6 petang.

Katanya, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kenderaan persendirian yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.

“Kereta ditahan membawa masuk tiga kotak berisi bungkusan dua ikan koi dewasa dan lima ikan emas yang dianggarkan bernilai RM750.

“Ikan peliharaan ini dibawa masuk tanpa dokumen dan permit Import MAQIS dan sijil kesihatan serta menggunakan kenderaan persendirian di laluan import penumpang kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Edie Putra, semua ikan berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut manakala pemandu dilepaskan selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan dijalankan.

“Perbuatan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews