fbpx

Suruhanjaya Kanak-Kanak badan berkanun bebas lindungi kanak-kanak

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bakal ditubuhkan akan berfungsi sebagai sebuah badan berkanun yang bebas untuk melindungi dan memelihara kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata suruhanjaya itu akan berfungsi untuk mempromosi kesedaran dan pendidikan terhadap hak kanak-kanak kepada kerajaan dan orang awam, serta mengadakan inkuiri dan menjalankan penyiasatan terhadap aduan mengenai pelanggaran hak kanak-kanak.

Suruhanjaya itu juga akan berfungsi untuk menasihati dan membantu kerajaan dalam menggubal perundangan, arahan pentadbiran dan prosedur serta mengesyorkan tindakan-tindakan yang perlu diambil, katanya.

Suruhanjaya juga akan menasihati kerajaan berhubung obligasi antarabangsa di bawah Convention on the Rights of the Child (CRC) dan lain-lain perjanjian antarabangsa yang berkaitan, katanya

Azalina dalam kenyataan itu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri yang telah bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya itu.

Mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Azalina berkata pesuruhjaya itu akan menerajui proses penubuhan suruhanjaya itu melalui penggubalan akta yang khusus sepanjang tempoh pelantikannya.

Pengumuman Pesuruhjaya Kanak-kanak tersebut akan dilakukan selepas mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejajar dengan Seksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, katanya.

“Kerajaan sentiasa prihatin tentang kebajikan, kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak. Masalah penganiayaan, eksploitasi, jenayah seksual dan pencabulan hak asasi terhadap kanak-kanak memerlukan tindakan yang pantas dari kerajaan,” katanya.

Anwar semalam mengumumkan kerajaan telah memutuskan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk menganggotai Suhakam. Ia adalah cabang khas yang mempunyai autonomi di bawah Suhakam bagi meneliti dan mendepani masalah berkaitan penderaan dan masalah sosial melibatkan kanak-kanak.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews