fbpx

Jurutera wanita rugi RM2.9 juta ditipu sindiket Macau Scam

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Seorang jurutera sebuah kilang kerugian lebih RM2.9 juta selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kegiatan jenayah dalam kejadian di George Town, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata wanita berusia 45 tahun itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa pekerja sebuah syarikat kurier pada 1 Dis lepas.

“Lelaki itu mendakwa terdapat bungkusan atas nama dan alamat wanita tersebut yang kononnya di dalam bungkusan berkenaan mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan pasport milik beberapa individu yang digunakan oleh mangsa untuk kegiatan jenayah.

“Mangsa menafikan bungkusan itu miliknya malah tidak pernah terlibat dalam mana-mana jenayah sebelum panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak,” katanya kepada pemberita selepas walkabout dan advokasi Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Pasar Awam Taman Selamat, di sini hari ini.

Katanya pegawai polis itu mengarahkan wanita tersebut yang bekerja di Bayan Lepas agar mengikuti arahannya termasuk memindahkan sejumlah wang kepadanya jika tidak mahu ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan jenayah dengan menggunakan dokumen orang lain.

Mohd Shuhaily berkata wanita itu yang panik dan takut ditahan telah mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang miliknya iaitu sebanyak RM1.9 juta kepada beberapa akaun yang diberikan oleh sindiket tersebut.

“Wanita itu juga turut meminjam wang daripada ahli keluarganya sebanyak RM700,000 dan membuat pinjaman bank RM329,000, semua duit tersebut turut dipindahkan kepada sindiket itu sejak 1 Dis hingga 6 Jan lepas,” katanya.

Beliau berkata mangsa membuat sebanyak 129 transaksi dengan cara pemindahan dalam talian dan mesin deposit tunai (CDM) ke 26 akaun berbeza dipercayai milik rangkaian sindiket itu.

Katanya wanita itu hanya menyedari dia menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam hanya selepas menceritakan kejadian tersebut pada rakan-rakannya pada 6 Jan lepas sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tidak mudah terpedaya dengan sindiket tersebut,” katanya menambah kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews