fbpx

Lesap RM98,670 diperdaya sindiket penipuan ‘bantuan prihatin’

Alor Gajah: Suri rumah kerugian RM98,670 akibat diperdaya sindiket penipuan ‘Bantuan Prihatin’ bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, terdahulu mangsa berusia 42 tahun itu menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali memperkenalkan diri dari ibu pejabat sebuah syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur, pada 25 Disember lalu.

Menurutnya, suspek memaklumkan kononnya mangsa terpilih menerima bantuan prihatin dan mengarahkannya mengisi maklumat peribadi menerusi pautan diberikan.

Katanya, mangsa yang teruja dan tidak mengesyaki apa-apa menekan pautan terbabit dan mengisi butiran dikehendaki termasuk maklumat perbankan di satu laman web.

“Pengadu mengisikan maklumat termasuk ID pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian, tarikh luput kad ATM (mesin juruwang automatik) dan CVC kod belakang kad ATM miliknya.

“Selesai perbualan, pengadu membuat semakan dan terkejut mendapati wang simpanan di dalam akaun banknya sudah dipindahkan ke beberapa akaun tidak dikenali berjumlah RM98,670 menerusi lapan transaksi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Arshad berkata, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kelmarin.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews