fbpx

Menu Rahmah elak pelajar ikat perut

KUALA LUMPUR: Mahasiswa dan pengusaha kafeteria gembira dengan cadangan pengenalan Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengunjung di Putra Food Court, Universiti Putra Malaysia mahu menu harga berpatutan itu dilaksanakan dengan kadar segera.

Pelajar tahun akhir jurusan perakaunan, Nurul Hanisah Abu Muhsen, 22, berkata Menu Rahmah memang wajar diperkenal kerana mampu meringankan beban mahasiswa yang terpaksa mengikat perut kerana masalah kewangan.

“Kebanyakan mahasiswa perlu melakukan kerja sambilan untuk mencari wang tambahan dan ini sedikit sebanyak bakal menganggu pembelajaran mereka.

“Cadangan ini wajar dilaksanakan dalam kadar segera,” katanya hari ini.

Ketua Penerangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Asfa Irfan Mohamed Razi, berkata inisiatif itu patut dipuji, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Program ini bakal meringankan sedikit sebanyak beban mahasiswa, terutamanya yang terdiri dari golongan asnaf.

“Program ini perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi membantu mahasiswa daripada mencatu wang poket sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Pengusaha Kios Putra Food Court, Mohd Ridhwan Yunus, 48, berpendapat menu yang disediakan dalam program Menu Rahmah perlu dipelbagaikan.

“Memang patut program ini dilaksanakan tapi kepelbagaian menu itu perlu ada, kerana mahasiswa akan cepat bosan jika menu sama setiap hari.

“Sebelum ini, Menu Keluarga Malaysia cuma ada dua hingga tiga pilhan di setiap kios. Jadi, saya cadangkan untuk program kali ini, ada lima hingga enam pilihan menu di setiap kios.

“Harga akan ditetapkan mengikut cadangan asal program, iaitu RM5 atau lebih murah tetapi bergantung kepada kos bahan mentah juga.

“Jika kos bahan mentah meningkat, saya akan kurang saiz hidangan makanan seperti saiz ayam akan lebih kecil dari kebiasaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM4.90 akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT), dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled, berkata perkara itu akan dilaksanakan kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews