fbpx

Batu Puteh: Parlimen akan tentukan tindakan seterusnya

PUTRAJAYA: Kerajaan menyerahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan mengenai tindakan yang perlu diambil membabitkan isu Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyediakan Kertas Putih mengenainya.

Menyifatkan itu sebagai isu yang tidak berkesudahan, Anwar berkata, laporan pasukan khas membantah keputusan pentadbiran sebelum ini untuk merayu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau berkata, akibatnya negara terlepas satu wilayah kepada Singapura.

“Menteri undang-undang akan menyiapkan kertas menteri atau kertas putih mengenai sekali lagi isu Batu Puteh yang tidak berkesudahan.

“Sebab itu, Jemaah Menteri bincang panjang mengenai langkah-langkah yang harus diambil.

“Dan, keputusannya (meletakkan kepada) kebijaksanaan Parlimen, selepas memberikan maklumat lengkap mengenai keadaan sebenarnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Batu Puteh ialah sebuah batu tunggul kira-kira 7.7 batu nautika (14 km), selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.

Kawasan itu kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke Mahkamah Keadilan Antarabangs (ICJ) pada 2003.

ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh milik Singapura.

Baru-baru ini dalam penulisan oleh Azalina, beliau menyatakan Batu Puteh yang terletak di pintu masuk timur Selat Singapura, mempunyai rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera.

Sebelum ini dilaporkan ada penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017 di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews