fbpx

Bekalan ikan, sayur mencukupi tapi harga naik, turun

KOTA BHARU: Bekalan barangan keperluan harian seperti ikan dan sayur-sayuran mencukupi untuk menampung keperluan pengguna walaupun harganya tidak stabil sejak kebelakangan ini.

Tinjauan yang dilakukan di Pasar Besar Siti Khadijah dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mendapati beberapa jenis ikan mengalami kenaikan di antara RM1 hingga RM6 sekilogram.

Antaranya ikan tongkol yang sebelum ini RM12 sekilogram kini dijual RM14; ikan kembung RM24 hingga RM26 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini; ikan cencaru RM10 meningkat RM13 sekilogram, dan ikan siakap daripada RM20 kepada RM22 sekilogram.

Harga sayur-sayuran pula ada yang naik dan turun. Jenis sayuran yang mengalami penurunan harga ialah terung yang sebelum RM8 kini dijual RM6 sekilogram dan timun batang daripada RM8 turun RM6 sekilogram.

Bagi sayuran yang mengalami kenaikan antaranya ialah cili kecil yang sebelum ini RM9 kini dijual RM12 sekilogram, tomato RM9 berbanding RM8 sebelum ini, petola daripada RM8 kepada RM10 hingga

RM12 sekilogram manakala halia RM6 meningkat kepada RM10 sekilogram.

Peniaga ikan, Nurul Faezah Abdullah, 38, berkata, bekalan ikan yang diperoleh tidak menentu sekali gus menyebabkan kebanyakan harga ikan mula naik sejak tiga hari lalu.

“Bekalan ikan diambil dari pembekal luar Kelantan iaitu dari Kedah, Besut serta Tok Bali dan bekalan ikan yang diterima daripada pembekal sekarang ini masih ikan segar.

“Bagaimanapun, pelanggan tidak seramai seperti sebelum ini mungkin disebabkan harga ikan yang sedikit mahal, namun turun naik harga memang sudah menjadi kebiasaan,” katanya.

Peniaga sayur, Farah Zuriati Rahman, 30, berkata, harga sayur mengalami turun naik sejak lebih sebulan yang lalu dan dia sendiri bingung memikirkan situasi harga sayur pada ketika ini.

“Bagaimanapun, setakat ini bekalan sayur masih lagi mencukupi untuk jualan harian dan tidak menjejaskan perniagaan disebabkan ia tetap mendapat permintaan.

“Kebanyakan bekalan sayur yang dijual ini diperoleh daripada pemborong di RTC untuk menampung keperluan pelanggan yang datang membeli di pasar ini,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Rosnah Isa, 78, berkata, sejak kebelakangan ini, harga barangan keperluan harian mengalami turun naik menyebabkan dia membeli dalam kuantiti yang sedikit.

“Sebagai pengguna kita harus bijak berbelanja dalam situasi harga barang yang tidak menentu dan dalam hal ini perlulah berbelanja mengikut keperluan.

“Untuk berjimat, saya memilih sayuran dan lauk pauk yang tidak terlalu mahal untuk dijadikam hidangan keluarga,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews