fbpx

Data kekal selamat, jamin lindungi pengguna – CEO TikTok

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif TikTok membuat penampilan berprofil tinggi yang jarang berlaku di hadapan jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Secara dasarnya, Shou Zi Chew perlu meyakinkan jawatankuasa tersebut mengapa aplikasi perkongsian video yang sangat popular itu tidak seharusnya diharamkan di AS.

Proses pendengaran awam itu berlangsung selama lima jam.

Antara dapatan daripada sidang itu termasuk, kongres sudah mempunyai pendirian tersendiri berkaitan TikTok sebelum proses pendengaran itu bermula.

Kedua, TikTok menegaskan bahawa, mereka tidak ada beza dengan syarikat teknologi lain di AS.

Proses tersebut dilihat penting kepada syarikat yang kini mempunyai 150 juta pengguna AS itu, tetapi menerima tekanan yang meningkat apabila wujud kebimbangan terhadap keselamatan pengguna dan data aplikasi tersebut.

“Dua tahun lalu, saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif TikTok. Hari ini kita mempunyai lebih satu bilion pengguna aktif setiap bulan di seluruh dunia termasuk 150 juta di AS.

“Aplikasi kami merupakan tempat untuk menjadi kreatif, di mana hampir empat juta perniagaan AS, terutama peniaga kecil, mencari pelanggan baharu dan mengembangkan perniagaan.

“Kini TikTok semakin meluas. Kami ambil pengajaran daripada syarikat-syarikat sebelum ini, terutama apabila ia melibatkan keselamatan remaja.

“Dalam pada majoriti pengguna TikTok berusia lebih 18 tahun dan demografi yang pantas meningkat berusia 35 tahun, kami mengambil banyak masa untuk melaksanakan pendekatan melindungi remaja.

“Kebanyakan pendekatan itu adalah yang pertama dilakukan oleh industri media sosial,” kata Shou.

TikTok dan syarikat induknya ByteDance terlibat dalam ‘perang geopolitik’ antara Beijing dan Washington berkaitan perdagangan dan teknologi.

Shou, warga Singapura berusia 40 tahun, memberitahu jawatankuasa tersebut, syarikatnya kekal dengan pendirian bahawa keselamatan pengguna terutama golongan remaja sentiasa menjadi keutamaan.

“Kini TikTok tidak lagi di China. Ibu pejabat kami terletak di Los Angeles dan Singapura, di mana terdapat 7,000 pekerja di AS ketika ini.

“Namun, kami telah mendengar kebimbangan utama tentang potensi akses asing yang tidak diingini kepada data AS dan potensi manipulasi ekosistem TikTok AS.

“Pendekatan kami tidak pernah mengetepikan atau meremehkan mana-mana kebimbangan ini. Kami telah menanganinya dengan sewajarnya,” katanya.

Malah, Shou dalam sesi tersebut turut menafikan dakwaan bahawa aplikasi itu berisiko kepada keselamatan negara.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews