fbpx

995,396 kuota pekerja asing diluluskan sehingga 14 Mac

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat diberitahu sehingga 14 Mac lalu, sebanyak 995,396 kuota pekerja asing telah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 84.7 peratus kuota pekerja asing sudah dibayar levi oleh pihak majikan.

“Majikan diberikan sehingga 18 bulan bagi urusan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia selepas membuat pembayaran levi.

“Pertimbangan ini diberikan bagi membantu pihak majikan untuk menguruskan kemasukan pekerja asing dalam tempoh yang mencukupi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu senarai rundingan yang sedang, telah dan juga dalam proses dengan negara berpotensi bagi membekalkan tenaga buruh ke negara ini serta bilangan pekerja dijangka dibawa masuk dan tempoh masa untuk mengatasi isu kekurangan tenaga buruh dihadapi setiap industri kini.

Mustapha berkata, daripada jumlah kuota yang diluluskan itu, sektor perkilangan adalah yang tertinggi diikuti pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

Sehingga kini, beliau berkata, Malaysia telah menjalinkan kerjasama perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja asing melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan 10 negara sumber.

Bagaimanapun hanya lapan MoU masih berkuat kuasa iaitu dengan Bangladesh, China, Indonesia, Thailand, Pakistan, Vietnam, Nepal dan Kemboja manakala dua lagi yang telah tamat tempoh adalah dengan India dan Sri Lanka.

Beliau berkata, buat masa ini, KSM telah memuktamadkan MoU dengan Kerajaan India pada 13 Mac 2023 dan dijangka dimeterai sebelum berakhirnya suku pertama tahun ini.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews