fbpx

Pesara guru rugi lebih setengah juta terjerat ‘phone scam’

IPOH – Seorang pesara guru wanita mengalami kerugian lebih RM585,000 selepas terpedaya sindiket telefon scam yang menyamar sebagai pegawai insurans.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 59 tahun menerima panggilan telefon daripada satu syarikat insurans pada 14 Januari lepas.

Menurutnya, mangsa dari Hutan Melintang, Bagan Datuk itu dikatakan mempunyai tuntutan insurans di sebuah hospital swasta di Ampang sebanyak RM68,8000.

“Mangsa menafikan mempunyai tunggakan bayaran itu kerana telah menghentikan pembayaran insurans sejak Februari 2022.

“Panggilan itu kemudiannya disambung kepada pegawai polis kononnya bagi tujuan siasatan.

“Mangsa turut diarahkan memandu keluar dari rumahnya bagi mengelak daripada memberitahu perkara tersebut kepada ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa telah diperdaya untuk membuat pindahan keseluruhan wang berjumlah RM585,904 ke satu akaun bank milik mangsa bagi tujuan siasatan sumber kewangan.

Katanya, akibat cemas dan ketakutan, mangsa telah memberikan semua maklumat kad mesin juruwang automatik (ATM) bank milik mangsa kepada individu berkenaan.

“Jumlah wang itu adalah hasil simpanan, wang pencen serta wang pinjaman mangsa sendiri,” katanya.

Dalam kes itu, Mohd Yusri menasihati orang ramai agar tidak melayan sebarang panggilan telefon atau mesej daripada individu dan nombor yang tidak dikenali.

“Jangan mudah panik dan cemas. Agensi penguat kuasa di Malaysia tidak akan menelefon untuk mengugut apatah lagi memberi pilihan selesai kes di luar.

“Sentiasalah membuat semakan dan pengesahan dengan jabatan atau agensi berkaitan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews