fbpx

Skuad B-22 negara sedia ‘langgar’ siapa saja

Kuala Lumpur: Skuad Bawah 22 (B-22) tahun negara tidak peduli dan akan tetap ‘langgar’ semua pencabar dalam saingan Kumpulan B di temasya Sukan Sea Kemboja, bulan depan.

Walaupun menyedari berada dalam kumpulan maut, pengendali pasukan, E Elavarasan tetap optimis akan kemampuan anak didiknya, sekali gus cuba mengintai peluang mara ke separuh akhir sebelum ke final.

Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran melangkah ke final dan cuba menamatkan badi pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada Sukan Sea di Indonesia 2011.

“Satu undian menarik dan pada masa sama mencabar selepas kami diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan pertandingan seperti Thailand.

“Di sebalik pasukan negara harus realistik dengan keputusan undian itu, saya kekal optimis skuad Harimau Malaya B-22 memiliki potensi sama seperti pasukan lain.

“Kami turut memiliki keyakinan untuk turun di Sukan Sea Kemboja nanti. Fokus dan visi kami tidak akan berubah.

“Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.

Pada majlis undian di Phnom Penh, Kemboja, semalam, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan ietnam; pemenang pingat emas terbanyak 16 kali acara bola sepak lelaki, Thailand; Singapura dan Laos.

Manakala, pasukan tuan rumah Kemboja diletakkan dalam Kumpulan A dengan Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.

Acara bola sepak Sukan Sea akan bermula awal dengan sepak mula pada 29 April ini, manakala aksi final dijadual pada 16 Mei depan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews