fbpx

Dakwaan aktiviti jual beli organ serius – KP Kesihatan

Kuala Lumpur: Sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap sebagai sesuatu yang amat serius oleh semua pihak kerana ia eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya terdapat aktiviti membabitkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Pihak berkuasa boleh menggunakan peruntukan sedia ada di bawah akta itu untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi di negara ini membabitkan pendermaan organ daripada penderma hidup atau penderma selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung atau paru-paru.

Dr Noor Hisham berkata, dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik).

Katanya, Malaysia juga telah menandatangani Deklarasi Istanbul mengenai Pemerdagangan Organ dan Pelancongan Transplan 2008 yang menyatakan bahawa organ untuk transplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima sesuai, tanpa mengenal jantina, etnik, agama, status sosial atau kewangan.

Menurut Dr Noor Hisham, deklarasi itu menekankan bahawa amalan yang menyasarkan individu atau golongan miskin dan lemah sebagai penderma organ perlu dilarang kerana ia dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, pelancongan transplan dan komersialisasi transplan.

Katanya bagi memperketat tadbir urus perkhidmatan transplantasi di negara ini, KKM menubuhkan jawatankuasa transplantasi yang mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma dan penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan atau pasangan bakal penderma dan penerima bukan warganegara.

Beliau berkata jawatankuasa itu menilai pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan tahap sosioekonomi semua permohonan pembedahan transplantasi bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik selepas pembedahan.

“Pembentukan tadbir urus perkhidmatan yang kemas sangat penting bagi melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak membabitkan sebarang paksaan atau mempunyai unsur pemerdagangan.

“Konsisten dengan kewajipan negara dan antarabangsa, kementerian tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram serta tidak beretika dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai yang berikrar sebagai penderma organ agar memaklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga bagi menjayakan perkhidmatan transplantasi beretika di negara ini.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Polis buru suspek pecah rumah

Tanah Merah: Polis memburu seorang suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau dan melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai

Read More »
Kwiknews