fbpx

Kerajaan tetap tidak benarkan pengeluaran khas KWSP

PUTRAJAYA: Kerajaan tetap tidak membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun ada cadangan supaya memberikannya kepada ahli yang benar-benar terdesak.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata beliau sudah pun menjawab perkara itu di Dewan Negara dan jawapannya sudah pun diketahui semua orang bahawa kerajaan tidak bercadang untuk memberikan pengeluaran KWSP.

Namun, beliau menjelaskan bahawa pengeluaran masih boleh dibuat bagi tujuan membabitkan perumahan, pendidikan, kesihatan, pelan perlindungan tertentu seperti sakit kronik dan sebahagian kos haji RM3,000.

“Kita tak kata apabila kita tak benarkan, maka tak boleh keluar KWSP. KWSP masih lagi boleh dikeluarkan. Ada lima perkara yang boleh dikeluarkan untuk Akaun 2 KWSP, bukan kita tak benarkan.

“(Namun) Akaun 1 memang tidak dibenarkan untuk pengeluaran kerana ia adalah khas untuk tujuan persaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Jabatan Akauntan Negara Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Akauntan Negara Malaysia, Datuk Dr Yacob Mustafa.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebelum ini berkata adalah lebih mudah membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP berbanding menggunakannya sebagai sandaran permohonan pinjaman.

Namun, bekas Menteri Kewangan Kedua itu menegaskan, pengeluaran secara terus itu hanya dibenarkan bagi mereka yang memerlukan dana untuk kecemasan seperti membayar perbelanjaan kesihatan atau pendidikan.

Jelasnya, dengan menggunakan simpanan KWSP sebagai sokongan permohonan pinjaman, peminjam akan dibebani dengan bayaran faedah yang dikenakan ke atas pinjaman.

Malah, katanya, skim itu juga boleh menyebabkan masalah kepada bank kerana proses berkenaan memerlukan semakan kredit dan penyediaan perjanjian undang-undang.

Dalam pada itu Ahmad berkata, setakat semalam, seramai 59,230 orang telah memohon Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) KWSP sejak ia mula dibuka 7 April lalu.

“Daripada jumlah ini, mereka yang layak adalah seramai 27,705 sahaja kerana kerana kita dah maklumkan bahawa hanya yang berumur 40 ke atas yang layak, bermakna selebihnya itu berumur 40 tahun ke bawah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews