fbpx

Netizen mahu usia persaraan kembali 50-55 tahun, beri peluang bakat baru

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pembaca BH dalam tinjauan media sosial memilih usia persaraan dikekalkan kepada 60 tahun.

Hasil tinjauan di Twitter membabitkan 900 pengguna selama lapan jam mendapati 77 peratus bersetuju supaya umur persaraan dikekalkan kepada 60 tahun.

Sembilan peratus bersetuju supaya kerajaan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dan 14 peratus lagi memberikan pandangan sendiri.

Pada Ahad lalu, Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus, dilaporkan berkata golongan pekerja perlu diberi pilihan umur bersara, sama ada 60 atau 65 tahun bagi menamatkan perdebatan mengenai had usia persaraan.

Ia susulan cadangan terbaru supaya kerajaan meningkatkan had umur bersara daripada 60 tahun ketika ini kepada 65 tahun seperti dilaksanakan di beberapa negara maju termasuk Singapura.

Sementara itu, pelbagai pandangan diberikan pembaca dalam ruangan komen tinjauan berkenaan.

“Sebab orang tua tak nak pencen habis anak-anak muda tiada penempatan. Jawatan-jawatan tinggi semua berat nak tinggalkan jawatan, anak muda dapat jawatan yang cikai-cikai,” kata @VirgoDesire.

“Yang lepas graduan tu nak buat apa,” kata @vsptime.

“Dah tua baik jaga cucu je. Kalau betul pun masih diperlukan buat je la jemputan. Tak payah semua nak dibantai 65, dah sampai masa berehat,” kata @MatGmadness.

Sementara itu, rata-rata komen daripada pengguna lain mencadangkan supaya umur persaraan dikurangkan ke 50 hingga 55 tahun, iaitu had umur bersara penjawat awam yang ditetapkan pada tahun 2001.

Baru-baru ini, Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) menjangkakan had usia persaraan di negara ini akan dinaikkan daripada 60 ke 65 tahun dalam beberapa tahun akan datang.

Ketua Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata had usia persaraan beberapa negara boleh dijadikan contoh dalam memanfaatkan pekerja berusia untuk keberhasilan negara.

Beliau berkata, persaraan wajib di Malaysia yang ditetapkan pada usia 60 tahun secara relatifnya lebih rendah berbanding negara lain, contohnya usia persaraan di Jepun ditetapkan pada usia 65 tahun dengan saiz warga emas tertinggi di negara itu.

“Di Australia, usia persaraan telah dinaikkan secara beransur-ansur daripada 65 kepada 67 tahun. Di sesetengah negara Eropah, usia persaraan adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, di Perancis ditetapkan pada usia 62 tahun, manakala di Jerman pada usia 65 tahun.

“Usia persaraan di sesebuah negara adalah penunjuk buruh dan sosial yang penting, yang juga adalah instrumen dasar.

“Menaikkan usia persaraan akan menggalakkan kestabilan kewangan dan kebajikan pekerja, meningkatkan bekalan buruh, menyumbang hasil cukai dan mengurangkan tekanan fiskal kepada kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata lanjutan had usia bersara daripada 60 kepada 65 tahun tidak sesuai dilaksanakan di negara ini berikutan isu yang lebih mendesak adalah penyediaan peluang pekerjaan untuk golongan belia.

MEF katanya, kekal dengan pandangan had usia bersara tidak perlu dilanjutkan kerana negara tidak tidak mengalami kekurangan bakat atau sumber.

“MEF berpandangan ketika ini bukan masa untuk lanjutkan usia bersara.. 60 tahun sudah memadai dalam kebanyakan pekerjaan walaupun ada yang benarkan (bekerja) hingga 65 tahun.

“Hari ini masih terdapat pengangguran dalam kalangan belia. Kita perlu memastikan belia kita bekerja. Yang penting keutamaan diberikan kepada mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews