fbpx

Perdagangan Malaysia merosot 1.6 peratus tahun ke tahun

PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia pada Mac 2023 menyusut secara marginal 1.6 peratus tahun ke tahun, didorong penurunan ketara harga komoditi, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia merosot 1.4 peratus daripada RM131.6 bilion kepada RM129.7 bilion tahun ke tahun.

Ujarnya, penurunan itu didorong oleh eksport domestik yang lebih rendah manakala eksport semula mengekalkan pertumbuhan positif. Eksport domestik bernilai RM102.5 bilion, menyumbang 79 peratus kepada jumlah eksport, menyusut 4.1 peratus.

“Sebaliknya, eksport semula berjumlah RM27.2 bilion mengukuh 10.3 peratus berbanding Mac 2022. Sebagaimana prestasi eksport, import turut mencatatkan penurunan 1.8 peratus daripada RM104.9 bilion kepada RM103 bilion.

“Sementara itu, analisis perbandingan bulanan menunjukkan jumlah dagangan meningkat 13.5 peratus daripada RM205 bilion pada Februari 2023 kepada RM232.7 bilion setelah enam bulan berturut-turut merekodkan pertumbuhan bulanan negatif.

“Eksport, import dan lebihan dagangan meningkat, masing-masing 15.5 peratus, 11.1 peratus dan 36.4 peratus.

“Meninjau kumpulan barangan, sebanyak 130 daripada 258 kumpulan menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, terutamanya injap dan tiub termionik. Bagi import, 127 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan negatif,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, pengurangan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih rendah ke Vietnam (-RM1.5 bilion), diikuti China (-RM1.1 bilion), Kesatuan Eropah (-RM618.7 juta), Taiwan (-RM601.5 juta), Republik Korea (-RM598.8 juta), Iraq (-RM529.2 juta) dan Jepun (-RM524.2 juta).

Sementara itu, katanya, penurunan import disumbangkan terutamanya oleh pengurangan import dari Indonesia (-RM1.5 bilion), diikuti Taiwan (-RM1.3 bilion), Arab Saudi (-RM589.9 juta), Jepun (-RM562.4 juta), Emiriah Arab Bersatu (-RM466.3 juta) dan Qatar (-RM418.1 juta).

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, penurunan disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik (-RM2.3 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM1.2 bilion), keluaran getah (-RM853.8 juta), keluaran kayu (-RM675.8 juta), kondensat dan minyak petroleum lain (-RM576.6 juta) dan produk keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (-RM550.3 juta).

Jelasnya, penguncupan import pulsa dicatatkan bagi petroleum mentah (-RM2.4 bilion), bahan kimia dan keluaran kimia (-RM964.6 juta), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM815.9 juta), barangan elektrik dan elektronik (-RM491.1 juta), dan jentera, kelengkapan dan peralatan (-RM462.1 juta).

Pada masa yang sama, katanya, penurunan import mengikut Penggunaan Akhir disumbangkan oleh permintaan yang lebih rendah bagi barangan perantaraan.

“Bagaimanapun, import barangan modal dan barangan penggunaan meningkat. Import barangan perantaraan (52.2 peratus daripada jumlah import) berjumlah RM53.8 bilion, menurun RM5.1 bilion atau 8.7 peratus.

“Barangan modal (9.5 peratus daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 3.5 peratus daripada RM9.4 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.8 bilion. Import barangan penggunaan yang berjumlah RM9.3 bilion, meningkat 6.2 peratus berbanding Mac 2022, dan merangkumi 9.0 peratus daripada jumlah import.

“Di samping itu, prestasi bagi suku tahun pertama 2023, jumlah dagangan, eksport dan import mengekalkan pertumbuhan positif berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Jumlah dagangan meningkat 3.2 peratus, disokong oleh perkembangan eksport (+2.8 peratus) serta import (+3.7 peratus). Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan penurunan 1.0 peratus kepada RM64.4 bilion,” katanya.

Sumber: Utusan

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews