fbpx

Penganggur mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik terhadap Sultan Johor

Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar melalui Facebook miliknya minggu lalu.

Muhammad Indera Mulia Ahmad, 35, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik sifatnya melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil ‘Indera Mulia’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 10.29 pagi, 21 April.

Hantaran berserta lampiran memaparkan gambar Sultan Johor itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini pada 6 petang, 24 April.

Pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Sabit kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh membuat sebarang hantaran mengenai kes ini sepanjang kes berjalan di mahkamah, bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan mempunyai tanggungan dan hutang yang banyak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews