fbpx

Strategi tambah kedai lonjak keuntungan MR DIY

KUALA LUMPUR: Strategi MR D.I.Y. (M) Bhd (MR DIY) menambah jumlah kedai bagi mempertahankan bahagian pasarannya sebagai peneraju peruncit pembaikan rumah dilihat meyakinkan, demikian menurut penganalisis.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam nota penyelidikannya berkata, ia menjangkakan MR DIY akan mencatatkan pemulihan pada suku berikutnya, mencerminkan kesan kos pengangkutan yang lebih rendah, ditambah dengan kesan penuh kenaikan harga.

“Kami kekal optimistik dengan strategi pengembangan kedai kumpulan untuk mempertahankan bahagian pasarannya sebagai peneraju peruncit pembaikan rumah.

“Justeru, kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham MR DIY, walaupun mengurangkan harga sasaran (TP) kepada RM2.12 daripada RM2.15 sebelum ini,” katanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, MR DIY mengumumkan keuntungan bersihnya pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM127.77 juta daripada RM100.50 juta pada suku pertama 2022, disebabkan terutamanya oleh pendapatan dan keuntungan kasar yang lebih tinggi.

Pendapatannya bagi suku dikaji turut meningkat 15.6 peratus kepada RM1.04 bilion daripada RM905.16 juta pada suku sebelumnya, dipacu terutamanya oleh peningkatan 18.8 peratus tahun ke tahun dalam bilangan kedai, daripada 947 kedai sebelum ini kepada 1,125 kedai.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd berkata, momentum perolehan positif dipercayai terus mampan setelah mempertimbangkan faktor penggalak kos serta pergerakan kadar muatan yang menguntungkan.

“Perkara ini sepatut melindungi kenaikan margin untung kasar (GPM), dan pada masa yang sama, membuka peluang kepada Mr DIY untuk mengambil pendekatan pemasaran yang lebih agresif.

“Hal ini akan berkesan dalam meningkatkan trafik pengunjung dan menguatkan perbelanjaan pengguna daripada terjejas oleh inflasi tinggi,” katanya.

Sementara itu katanya, ia berada dalam landasan yang baik dalam usahanya untuk membuka 180 kedai pada tahun kewangan 2023 dengan pembukaan bersih sebanyak 45 kedai baharu pada suku pertama 2023.

“Seterusnya, kumpulan ini juga memperkenalkan sebuah versi baharu kepada jenama MR DOLLAR di bawah nama MR DOLLAR ONE PLUS supaya ia dapat memberikan penawaran produk yang lebih anjal. Selain itu, ia menyasar untuk melancarkan sebuah jenama baharu, Empro,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews