fbpx

LIMA ’23: Pesawat tentera, aerobatik mula tiba di LTAL

LANGKAWI: Kesibukan dirasai di Lapangan Terbang Antarabang Langkawi (LTAL) di Padang Matsirat, di sini, apabila pesawat pengangkut dan jet pasukan aerobatik mula tiba berperingkat, sejak petang semalam.

Tinjauan BH mendapati, pendaratan bersilih ganti pelbagai aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang bermula Selasa ini.

Difahamkan, pesawat Sukhoi SU-30MKM, F/A-18D Hornet dan Hawk serta pelbagai jenis helikopter termasuk helikopter terbaharu jenis MD530G yang sebelum ini mengadakan latihan di Pangkalan Udara Butterworth juga akan tiba di LTAL di sini, hari ini.

Berdasarkan laman Facebook rasmi LIMA 2023, tujuh pesawat J-10C pasukan aerobatik Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) August 1 sudah mendarat di LTAL petang semalam.

Pasukan itu yang dilancarkan lebih enam dekat lalu dikatakan sudah melakukan 700 pertunjukan udara di lebih 170 negara dan wilayah.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selaku Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur dan Kebersihan LIMA ’23 kini giat mengkoordinasi persediaan tapak dan pemantauan tahap kebersihan di persekitaran Langkawi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata Langkawi sudah bersedia sepenuhnya menjadi tuan rumah kepada acara berprestij itu.

“Ini kerana projek menaik taraf Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dari segi sistem mekanikal dan elektrikal telah siap sejak 13 April lalu iaitu mengikut jadual ditetapkan dengan kos keseluruhan mencecah RM45 juta.

“Sehubungan itu, dewan pameran itu kini berfungsi dengan baik dan sedia untuk digunakan untuk penganjuran LIMA ’23 yang bermula Selasa ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Kamarul Faisal berkata, antara skop kerja menaik taraf MIEC termasuk menaik taraf sistem penghawa dingin, penukaran sistem elektrik, selain beberapa kerja peningkatan insfrastruktur bagi kemudahan parkir.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews