fbpx

Konsert Coldplay: KKD panggil penganjurKonsert Coldplay: KKD panggil penganjur

Kuching: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memanggil penganjur konsert Coldplay bagi mendapatkan maklumat berhubung situasi sebenar isu penjualan tiket.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pertemuan dengan penganjur konsert itu akan disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Menurutnya, perbincangan itu perlu bagi meneliti pendekatan untuk mengelak isu berkenaan berulang pada masa depan.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (Ketua Setiausaha KKD) untuk memanggil penganjur konsert serta agensi berkaitan.

“Perbincangan itu adalah bagi membolehkan kita memahami apa yang sebenarnya berlaku, kenapa ia berlaku, bagaimana ia boleh diatasi buat masa sekarang serta apa langkah yang perlu diteliti supaya ia tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Fahmi berkata, antara perkara utama yang akan diteliti ialah cara penjualan tiket konsert kumpulan muzik Britain itu sama ada perlu ada sekatan atau syarat yang perlu dikenakan terhadap penganjur.

“Bagi MCMC pula, mereka meneliti peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap platform digital yang menjadi pilihan ulat tiket untuk menjual semula tiket.

“Namun pada yang sama, saya mengingatkan, kalau mahu membeli tiket mana-mana konsert sekali pun, belilah dari sumber yang sahih dan rasmi untuk mengelak masalah ulat tiket,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg di pejabatnya di DUN Sarawak hari ini.

Fahmi berkata, antara agenda utama yang dibincangkannya dalam pertemuan itu ialah meneliti masalah yang dihadapi rakyat Sarawak khususnya berkaitan capaian Internet.

“Pada Mac lalu, kita meminta Ahli Parlimen seluruh negara untuk mengenal pasti masalah capaian Internet termasuk prasarana seperti menara tanpa kuali di kawasan masing-masing.

“Di Sarawak, saya difahamkan Perbadanan Ekonomi Digital (SDEC) ada mendirikan lebih 600 menara tetapi kurang separuh daripadanya sahaja yang sudah ada operator telekomunikasi,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews