fbpx

Ramai yang seakan lupa tak boleh merokok di premis makanan

SEREMBAN: Orang ramai seakan sudah lupa peraturan larangan merokok di kawasan awam terutama di premis makanan apabila dilihat melakukannya seperti ia bukan satu kesalahan.

Perbuatan itu menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pelanggan lain terutama yang membawa keluarga dan anak kecil, namun rata-rata tidak berani menegur kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Malah tinjauan mendapati puntung dan kotak rokok bertaburan di lantai premis makanan membuktikan kegiatan itu berlaku agak kerap.

Di Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 121 aduan merokok di tempat awam melalui WhatsApp dari Januari hingga Mac 2023, manakala 2,945 aduan diterima di seluruh negara dalam tempoh sama.

Daripada jumlah itu, sebanyak empat lokasi panas dikenal pasti menerima aduan berulang kali dan premis berkenaan digempur dalam Operasi Mega Bersepadu, semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, berkata dalam operasi bermula jam 2 petang, 96 notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan peraturan larangan merokok.

“Sebanyak tujuh notis di kawasan hospital atau klinik, 29 di premis makanan, 13 notis di kenderaan atau pengangkutan awam, manakala 31 notis di kompleks beli-belah.

“Bakinya membabitkan kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok (2), gagal memastikan tiada orang merokok (3), tiada tanda larangan orang belum dewasa (2) dan orang belum dewasa merokok (9),” katanya ketika ditemui sejurus operasi tamat jam 11 malam.

Mengulas mengenai pengguna rokok elektronik atau vape, beliau berkata, peranti berkenaan juga boleh membahayakan orang sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa.

“Pengguna rokok e-cigarette diseru untuk berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf KKM. Pendaftaran mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts