fbpx

‘Kerajaan bagaikan lepas tangan, iklan vape semakin tidak terkawal, melampau’ – NGO

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Green Lung Malaysia menegaskan, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih drastik terhadap sebarang promosi membabitkan pengiklanan produk vape yang dilihat semakin tidak terkawal dan melampau sejak kebelakangan ini.

Persatuan itu dalam kenyataannya, mendakwa kerajaan kini seolah-olah menyerahkan hak sepenuhnya kepada penjual dan industri vape serta rokok elektronik untuk menentukan peraturan sendiri tanpa batasan.

“Sekarang ini, pelbagai reka bentuk peranti vape dengan watak kartun atau bentuk haiwan yang comel boleh didapati dalam pasaran dengan tujuan untuk menarik perhatian kanak-kanak.

“Taktik pemasaran juga dilihat semakin berani dengan mengadakan ekspo vape secara besar-besaran, selain penyediaan mesin layan diri yang menjual pelbagai jenis produk vape.

“Baru-baru ini, ada iklan yang menampilkan kanak-kanak serta remaja bawah umur mempromosikan vape di media sosial. Mereka yang masih tidak matang akan mudah terpengaruh taktik promosi sebegini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persatuan itu menegaskan, mereka memberi sokongan penuh kepada usaha kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok pada bulan ini atau selewat-lewatnya Jun, seperti dinyatakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, pada Jumaat lalu.

“Pembentangan RUU ini penting bagi mengatasi masalah penggunaan produk merokok terutama rokok elektronik atau vape dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi (NHMS) 2022 mendapati penggunaan vape dalam kalangan remaja negara ini meningkat daripada prevalens 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022, dengan kadar peningkatan sebanyak 52 peratus.

“Kadar peningkatan ini amat menakutkan dalam tempoh lima tahun sahaja. Jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menjadi mangsa ketagihan vape dan nikotin yang sekali gus mengancam kesihatan serta masa depan mereka.

“Peningkatan dalam penggunaan vape ini berkait rapat dengan polisi kerajaan dan faktor dorongan industri, termasuk ketiadaan kawalan undang-undang terhadap penjualan dan penggunaannya.

“Lebih-lebih lagi, nikotin dalam vape dan rokok elektronik sudah dikeluarkan daripada Akta Racun 1952 baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini berjanji kepada rakyat Malaysia bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat atau Generational Endgame (GEG).

“Bulan Mei sudah menghampiri hujung, bilakah kerajaan akan mengotakan janji?

“Isu pilihanraya akan datang tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk melengahkan pembentangan dan kelulusan RUU ini.

“Jika kerajaan khuatir RUU akan menyinggung perasaan pengundi, banyak tinjauan awam oleh pihak media dan badan bukan kerajaan menunjukkan sokongan yang memberangsangkan setinggi 97 peratus terhadap pelaksanaan RUU dan GEG, termasuk perokok dan pengguna vape,” katanya.

Katanya, impak daripada kelewatan meluluskan RUU bukan sahaja memberi implikasi besar kepada kesihatan dan kemaslahatan rakyat Malaysia, tetapi juga berlanjutan dalam jangka masa panjang selain memberi kesan terhadap sara hidup dan kualiti kehidupan rakyat.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews