fbpx

Kementerian Pertahanan meterai 43 perjanjian perolehan alatan pertahanan lebih RM10 bilion

Langkawi: Kementerian Pertahanan menandatangani 43 dokumen kontrak, Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Niat yang keseluruhannya bernilai RM10.128 bilion sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) di sini, hari ini.

Dokumen kontrak itu adalah bagi penerimaan empat Helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus di bawah Tentera Darat Malaysia (TDM).

Helikopter berkenaan akan digunakan bagi tujuan latihan dan tugasan penerbangan operasi TDM melalui sewaan daripada syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd.

Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dokumen kontrak adalah bagi perolehan membabitkan 18 pesawat tempur FA-50 Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) yang akan diperoleh daripada Korea Aerospace Industries (KAI).

Selain itu, TUDM juga bakal memperoleh tiga pesawat tanpa pemandu ‘Unmanned Aerial System’ (UAS) dan ‘sistem kelengkapan ‘Medium Altitude Long Endurance’ (MALE) Fasa Satu daripada Turkish Aerospace Industries.

Bagi memantapkan pemantauan ruang udara negara, TUDM bakal memperoleh dua pesawat rondaan maritim (MPA) Fasa Satu dan sistem sokongan daripada syarikat Leonardo SPA.

Majlis menandatangani semua dokumen berkenaan dibuat Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz yang mewakili kerajaan Malaysia.

Hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Sementara itu, Mohamad pada sidang media berkata, kerajaan berharap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat menerima semua aset terbaharu berkenaan mengikut masa ditetapkan.

Jelasnya, perolehan pesawat tempur dan helikopter terutamanya, mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan ATM dalam menjamin kedaulatan negara serta memastikan kestabilan serantau.

“Kita menyaksikan sejumlah 43 dokumen kontrak, SST dan Surat Niat ditandatangani pagi ini, mengikut yang diputuskan kerajaan kepada syarikat terbabit.

“Ia membabitkan sama ada perolehan baharu atau bagi menjalankan kerjasama atau sambungan kontrak bagi tempoh tiga ke lima tahun bagi syarikat sedia ada yang keseluruhannya bernilai RM10.128 bilion.

“Saya harap semua perolehan aset yang kontraknya sudah ditandatangani dapat diterima negara dalam keadaan baik dan mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam proses meneliti beberapa lagi dokumen kontrak penting berkaitan pertahanan yang perlu dimiliki negara, dengan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Sepatutnya lebih banyak surat kontrak ditandatangani hari ini, tapi kita dalam proses menilai semula kontrak terbabit kerana penelitian lanjut perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Bagi pihak yang menandatangani dokumen kontrak hari ini, mereka boleh mula menjalankan kerja bagi menyediakan aset berkaitan agar dapat diserahkan mengikut tempoh perjanjian,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews