fbpx

Lebih RM18 bilion diperlukan naik taraf bekalan air Sabah

Foto oleh Yusof Mat Isa

KOTA KINABALU: Perbelanjaan yang besar hingga RM18.37 bilion diperlukan untuk meningkatkan keupayaan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menyediakan perkhidmatan bekalan air yang cekap di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata ia termasuk melaksanakan tindakan mitigasi yang dikategorikan sebagai mendesak dan perlu dilaksanakan mengikut perancangan.

“Ini bagi memastikan bekalan air terawat dapat dislaurkan dengan sempurna untuk kesejahteraan rakyat di Sabah,” katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kerja Raya Sabah pada Persidangan Dewan

Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata jumlah perbelanjaan itu merangkumi pelbagai usaha menambah baik keberkesanan dan kecekapan bekalan air di Sabah berikutan banyak masalah yang dialami

pengguna selaku pelanggan JANS ketika ini.

“Sejak kebelakangan ini, isu bekalan air di Sabah sering menjadi tajuk utama di media massa dan media sosial. Kementerian ini mengambil maklum kekurangan bekalan air terawat yang amat membimbangkan.

“Situasi genting berhubung kekurangan air di bandar utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan serta masalah membabitkan operasi dan penyelenggaraan aset jabatan yang kerap mengganggu bekalan air memaksa kementerian menyusun semula perancangan menangani isu air yang semakin mendesak,” katanya.

Antara usaha yang dirancang katanya termasuk membina, menaik taraf dan memulih sistem pengeluaran air terawat membabitkan sebanyak 20 projek keutamaan dengan anggaran kos keseluruhan RM12 billion.

Katanya, turut dilaksanakan ialah projek mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang menyebabkan kerugian dalam kutipan hasil negeri menerusi dua projek iaitu Program Mengurangkan Kadar NRW dan pemasangan meter pintar di seluruh Sabah.

“Kita juga akan melaksanakn projek membina, menaik taraf dan mengganti sistem agihan air selain membina, menaik taraf, mengganti pam air dan janakuasa usang membabitkan sebanyak 13 projek.

“Usaha juga dilakukan bagi meningkatkan kadar liputan bekalan air terawat luar bandar yang ketika ini hanya 61 peratus menerusi 18 projek disenaraikan setakat ini,” katanya.

Selain itu, Shahelmey berkata empat projek peningkatan kualiti air turut dilaksanakan bagi mengatasi gangguan kualiti air mentah yang berpunca daripada kekeruhan tinggi, paras air cetek, penyusupan air masin dan ammonia atau manganese yang sering menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) dihentikan.

Katanya, tiga projek membina dan menaik taraf pejabat JANS juga dirancang bagi memberi keselesaan kepada kakitangan dan pelanggan JANS, manakala satu projek membangunkan sistem pemantauan dan pengurusan sistem maklumat rangkaian bekalan air.

Beliau berkata, kutipan jualan air bagi tahun ini seiingga 23 Mei berjumlah RM108.91 juta atau 36 peratus daripada sasaran RM300 juta sehingga akhir tahun ini.

Katanya, purata NRW di Sabah ketika ini pula pada tahap 56.7 peratus setakat 23 Mei dan JANS menyasarkan penurunan NRW kepada 54 menjelang akhir tahun ini.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews