fbpx

RM500 juta laksana Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak 2023

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk pelaksanaan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata pada tahun lalu, peruntukan bagi program berkenaan adalah sebanyak RM400 juta.

Katanya, secara am, jumlah peruntukan bagi menyediakan minyak masak bersubsidi adalah tertakluk kepada harga minyak sawit mentah (CPO), yang mana sekiranya harga CPO meningkat, maka dana yang diperlukan untuk melaksanakan program itu juga meningkat.

Katanya, jumlah peruntukkan yang diperlukan adalah berdasarkan kepada ketetapan dasar bagi menyediakan 60 ribu tan sebulan iaitu lebih kurang 60 juta paket sekilo sebulan.

“Peruntukan yang dikemas kini bagi menyediakan kos pada 2022 adalah sebanyak RM2.42 bilion subsidi tambahan dan bagi 2023 jumlah peruntukan dianggarkan RM1.6 bilion dan tertakluk kepada pergerakan naik turun harga CPO.

“Bagi tujuan menyediakan minyak masak bersubsidi, KPDN melantik 366 syarikat pembungkus di seluruh negara untuk membekalkan minyak masak bersubsidi di pasaran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta menyatakan dana wang dan tan subsidi minyak masak yang diluluskan pada 2022 dan 2023 serta nama syarikat yang diberikan kelulusan.

Sementara itu, menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan, (PN-Merbok) berhubung usaha kementerian dalam memastikan barang kawalan di seluruh negara mencukupi, Fuziah, berkata terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh pihaknya bagi memastikan perkara berkenaan.

Katanya, sejak 1972 kementerian sudah mewartakan sebanyak 43 barang kawalan sebagai barang keperluan di bawah Akta Barang Kawalan 1961, di mana terdapat tujuh item yang dikawal dan disubsidikan iaitu tepung kegunaan am, telur, RON 95, LPG, Diesel, ayam dan minyak masak paket.

“Kementerian juga mempunyai SOP yang dilaksanakan untuk memastikan barang yang dikawal adalah mencukupi antaranya mengadakan pemeriksaan secara rutin… kedua kita lakukan Ops Terjah dan yang ketiga kita lakukan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan kepada permit.

“Kita juga pastikan akan gantung lesen dan kuota sekiranya melakukan pemalsuan tuntutan ataupun penyelewengan seperti penyeludupan. Kita juga hadkan belian barang keperluan supaya ianya dapat memenuhi keperluan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews