fbpx

Pesara rugi RM80,000 diperdaya ‘kakitangan syarikat kurier’

MUAR: Seorang pesara kerugian RM80,000 selepas diperdaya sindiket penipuan menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran barang yang mendakwa kononnya mangsa menghantar barangan tertentu pada Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kejadian bermula pada 27 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan individu memaklumkan terdapat bungkusan dikirim pengadu kepada seseorang tidak dikenali.

Beliau berkata, individu terbabit memperkenalkan diri daripada syarikat penghantaran di Bandar Baru Ipoh dan memberitahu bungkusan itu mengandungi kad pengenalan serta pasport, namun mangsa berusia 61 tahun itu menafikannya.

“Panggilan itu kemudian disambung kepada beberapa ‘pegawai polis’ dan mengarahkan pengadu mengeluarkan semua wang simpanan.

“Mangsa kemudian melakukan beberapa transaksi sejak 27 Mac hingga 22 Mei dengan jumlah keseluruhan RM80,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas cuba menghubungi ‘pegawai polis’ berkenaan untuk menyemak status siasatan seperti didakwa, namun panggilan tidak dijawab.

“Pengadu berasa curiga sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar semalam untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Raiz Mukhliz berkata, walaupun pelbagai usaha kempen dijalankan terutama di daerah ini, namun masih ada individu percaya dan melayan sindiket seperti ini.

“Susulan itu, polis menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dan jangan melayan panggilan telefon tidak dikenali. Tindakan dan usaha licik sindiket penipuan ini mencari mangsa perlu dihindari,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews