fbpx

13 Jun ini keputusan representasi ketiga pemilik kelab komedi Crackhouse

© Jeremy Jensen Photography

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 13 Jun ini untuk keputusan representasi ketiga difailkan pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, berhubung tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video menyentuh sensitiviti kaum.

Hakim, N Priscilla Hemamalini, memutuskan tarikh berkenaan selepas peguam bela, Mohamad Rizal, M Pravin, memaklumkan berkemungkinan besar akan memfailkan representasi itu.

Mahkamah juga melapangkan perbicaraan kes itu pada esok dan Jumaat ini.

Terdahulu, Pravin berkata, representasi ketiga difailkan atas ada perkembangan terbaru, selepas representasi kedua dikemukakan anak guam untuk menggugurkan pertuduhan terbabit ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kita perlu sedikit masa untuk dapatkan arahan anak guam dan masukkan surat (representasi ketiga). Kami memohon tarikh sebutan yang singkat untuk keputusan daripada AGC jika kami memasukkan surat berkenaan.

“Kemungkinan besar akan masukkan surat, menunggu arahan daripada anak guam dan memerlukan seminggu untuk berbuat demikian.

“Kita juga mohon penangguhan bicara pada 1 dan 2 Jun ini kerana peguam utama, Sangeet Kaur, berada di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk kes lain,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman, mengesahkan surat representasi kedua difailkan Mohamad Rizal ditolak oleh AGC.

“Kita baru diberitahu mengenai surat itu (representasi ketiga). Jika ada, ia perlu dimasukkan segera bagi kami meneliti kandungannya.

“Untuk rekod, kita bersedia dengan saksi untuk bicara pada 1 dan 2 Jun ini, namun memohon penangguhan singkat jika surat berkenaan dimasukkan,” katanya.

Pada 6 April lalu, Mohamad Rizal mengesahkan memfailkan surat representasi kedua kepada AGC bagi menggugurkan tiga pertuduhan itu selepas representasi pertama dikemukakan atas tujuan sama ditolak pada 20 Januari lalu.

Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Hantaran itu dibaca di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini, pada jam 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews