fbpx

Dasar awam perlu sokong gaya hidup sihat kurangkan obesiti

Obesiti bukan isu baharu di Malaysia, malah ia sebenarnya senario yang membimbangkan. Saban tahun kita mendengar mengenai peningkatan kes obesiti seiring dengan kempen kesedaran mengenainya.

Obesiti mampu menjejaskan kesihatan dan menjadi punca kita terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan. Statistik terkini menunjukkan peningkatan yang ketara bagi kadar obesiti dalam beberapa tahun terakhir. Menurut Kementerian Kesihatan, kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu 15.6 peratus.

Data ini adalah berdasarkan Laporan Semakan Populasi Dunia 2019. Laporan sama menyebut, lebih separuh orang dewasa di negara ini menghadapi masalah obesiti atau kegemukan.

Ada banyak sebab mengapa hal ini berlaku. Umumnya ia dikaitkan dengan faktor gaya hidup moden, perubahan pola pemakanan, selain kurangnya aktiviti fizikal. Semua penyebab ini adalah penyumbang utama kepada krisis obesiti ini.

Namun, sedarkah anda satu lagi faktor yang berperanan dalam peningkatan obesiti adalah perubahan gaya hidup? Dalam era digital ini, teknologi sudah mengubah cara hidup kita. Banyak pekerjaan yang dilakukan di hadapan komputer atau skrin, sekali gus ia mengurangkan aktiviti fizikal. Semuanya serba pantas dan mudah, malah jika mahu makan, perkhidmatan penghantaran makanan sampai ke pintu rumah dalam tempoh yang sekejap.

Kita juga lebih banyak bergantung kepada penggunaan kenderaan peribadi berbanding berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Malah kalau berkunjung ke pusat membeli belah pun kebanyakan kita akan berebut-rebut untuk meletakkan kenderaan di petak parkir paling dekat dengan pintu masuk! Alasannya tentu saja tidak mahu berjalan jauh.

Selain itu, perubahan pola pemakanan juga menyumbang kepada peningkatan obesiti di Malaysia. Masyarakat cenderung mengamalkan pengambilan makanan segera yang tinggi lemak, gula dan garam. Budaya pemakanan yang tidak seimbang, dengan hidangan yang berlebihan dan kekurangan pengambilan buah-buahan dan langsung tidak menyentuh sayur-sayuran, sudah menjadi norma dalam kalangan masyarakat.

Justeru, dengan semua itu orang Malaysia semakin obes meskipun kita tahu ia menjadi faktor risiko utama penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung, hipertensi dan kanser.

Kadar diabetes meningkat amaran serius

Peningkatan kadar diabetes dalam kalangan masyarakat Malaysia dalam dua dekad terakhir adalah amaran serius kepada kita semua. Perkara ini memerlukan kita mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kesan negatif obesiti terhadap kesihatan masyarakat.

Untuk menangani obesiti secara berkesan sebenarnya datang daripada dalam diri kita sendiri. Ia memerlukan kekuatan mental yang kuat. Apatah lagi pihak kerajaan sudah menjalankan tugasnya menerusi peningkatan kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang.

Jika kita perhatikan, sudah banyak program kesedaran kesihatan dibuat misalnya membabitkan media massa, selain kempen penerangan awam. Banyak juga maklumat pendidikan mengenai pemilihan makanan yang sihat dihebahkan.

Namun selain itu, penting juga untuk kerajaan melaksanakan dasar awam yang menyokong gaya hidup sihat. Misalnya mengetatkan peraturan seperti pengiklanan makanan tidak sihat dan minuman berlebihan gula. Langkah ini sekali gus dapat memberikan insentif kepada pengeluar makanan sihat serta dapat menjadi langkah awal yang berkesan.

Peningkatan akses kepada kemudahan rekreasi seperti taman awam, laluan basikal dan kemudahan sukan perlu ditingkatkan untuk memberikan peluang kepada masyarakat menjalankan aktiviti fizikal secara berkala.

Kesimpulannya, isu obesiti di Malaysia terus meningkat dan menjadi cabaran besar dalam bidang kesihatan. Faktor gaya hidup moden, perubahan pola pemakanan dan kurangnya aktiviti fizikal adalah penyumbang utama kepada peningkatan obesiti. Melalui usaha bersama daripada kerajaan, masyarakat dan individu, kita dapat mengatasi masalah ini dan mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera di Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews