Frank Swettenham dalam bukunya ‘The Malay Sketches’ memperihal orang Melayu suka berjudi, bersabung ayam, berburu serta menangkap dan menjinakkan gajah.
Pemerihalan penulis Barat ini tidak perlu dinafikan, namun tidak juga boleh diterima secara umum kerana 22 bab beliau ceritakan adalah perkongsian penulis berdamping dengan orang kebanyakan, pawang dan pembesar tertentu.
Sebaliknya jika dilihat kepada sisi keilmuan khususnya melalui perkembangan tradisi pengajian pondok di alam Melayu, masyarakat Muslim hakikatnya mementingkan aspek keilmuan melalui proses pembacaan teliti serta sumber penulisan berwibawa.
Hal ini boleh dilihat contohnya melalui tradisi pengajian pondok menetapkan silibus tersendiri dengan sumber rujukan terpilih, dibaca mulai huruf pertama di kulit hadapan sehingga di noktah terakhir di halaman belakang.
Ketika era sebelum industri menentukan landskap pendidikan, menghabiskan satu teks pengajian memakan masa bertahun-tahun adalah suatu diperakui penting dalam proses menuntut ilmu.
Bahkan sebelum terciptanya radio dan televisyen, masyarakat lampau mengisi masa dengan membaca, menulis, berbual bersama keluarga serta melakukan pelbagai aktiviti luar. Kerana itu tidak aneh terdapat penulisan fiksyen sebagai bahan hiburan dan ia sengaja ditulis panjang berjilid-jilid melalui imaginasi tersendiri penulis.
Sebagai contoh penulis epik klasik, JRR Tolkein melalui karya terkenalnya ‘The Lord of the Rings’ berhasil menulis 1,214 halaman untuk kisah itu sahaja. Sekiranya seseorang menghabiskan pembacaan buku ini sekali gus dengan anggaran 250 perkataan dibaca selama satu minit, maka pembaca perlu memperuntukkan masa selama 37 jam dan 36 minit untuk membacanya tanpa henti.
Amalan membaca diperakui bermanfaat untuk manusia khususnya pada aspek peningkatan pengetahuan dalam pelbagai topik. Ia juga menjana pemikiran kritis dan analitis.
Melalui pembacaan, minda menganalisis, menilai dan mentafsirkan maklumat terkandung pada teks. Ia juga meningkatkan daya ingatan kerana proses membaca membabitkan memori jangka pendek dan panjang.
Ketika membaca, kita perlu mengingati watak, plot dan perincian penting tertentu. Amalan ini meningkatkan keterampilan bahasa kerana membaca meningkatkan kemampuan berbicara, menulis dan kefahaman linguistik melalui pendedahan kosa kata meluas dan struktur perkataan tersusun.
Kurangkan tekanan
Selain itu, ia juga mampu mengurangkan tekanan tetapi memberikan ketenangan. Ini berlaku apabila ‘diri’ pembaca dilibatkan dalam kisah dibaca. Daya fokus juga dapat ditingkatkan kerana proses membaca memerlukan fokus mendalam.
Ironinya, membaca pada era pengetahuan kini secara paradoksnya adalah mencabar. Di kala manusia mampu mengakses apa sahaja maklumat diingini di internet, peluang membaca seakan sempit akibat ‘kekangan’ dicipta manusia.
‘Kekangan’ itu ialah pelbagai gangguan dialami manusia menerusi media sosial sehingga melahirkan fenomena ‘singkat perhatian’. Ia suatu keadaan yang mana individu memiliki daya tumpuan dan daya fokus singkat dan terbatas.
Ia berlaku apabila individu terbabit mudah ‘terganggu’ dengan sesuatu yang lain dan cepat hilang minat dengan apa yang dilakukan. Namun bagaimana boleh dihubungkan antara media sosial dan amalan membaca dengan ‘singkat perhatian’ ini.
Ciri media sosial itu sendiri menatijahkan kurang daya perhatian pengguna. Ini berlaku apabila media sosial menyediakan kandungan pendek dan mudah dihadam secara berterusan.
Platform seperti Twitter, Instagram dan TikTok direka untuk memberikan kepuasan segera kepada pengguna, menawarkan maklumat kecil atau remeh yang boleh digunakan dengan cepat dan tanpa proses panjang.
Impak media sosial
Jenis kandungan ini selalunya dipersembahkan dengan visual menarik serta imej atau video mampu menarik perhatian pengguna. Namun, ia secara langsung memberi impak berikut:
* Mengurangkan daya fokus dan perhatian
Pengguna akan secara berterusan mengakses akaun mereka untuk mendapatkan maklumat baharu serta melakukan pelbagai tugas seperti mengakses pelbagai platform dan web.
Ia memberi kesukaran pada minda untuk fokus kepada sesuatu perkara dalam tempoh panjang dan ini boleh menyebabkan kurangnya keupayaan menumpukan perhatian, mengingati maklumat dan menyelesaikan masalah kompleks.
Kreativiti juga boleh terjejas apabila minda perlu membahagikan perhatian kepada pelbagai tugas ketika mengakses media sosial.
Ini berlaku apabila potensi minda yang sepatutnya boleh berfikir secara mendalam, namun terjejas akibat perhatian dan pemikiran ditarik ke pelbagai arah serta diganggu dengan pengumuman, maklumat baharu atau tidak perlu. Akibatnya turut memberi kesan kepada kemampuan minda membaca secara serius, fokus, mendalam dan dalam tempoh panjang.
Meningkatkan stres
Pengguna yang sentiasa menyemak kemas kini dan berasa penting untuk terus berhubung dengan rakan siber lain boleh menimbulkan rasa kebimbangan dan tekanan, akhirnya membawa kepada masalah kesihatan mental seperti ketagihan media sosial. Penghargaan sosial pula diukur secara digital hanya pada bilangan tontonan, tanda suka dan jumlah perkongsian.
Mengubah pilihan membaca
Mereka yang terdedah kepada media sosial lazimnya lebih sukakan kandungan pendek dan visual seperti bebenang pandangan, status ringkas, catatan blog dan infografik. Mereka juga cenderung membaca kandungan digital berbanding buku fizikal.
Oleh kerana bahan bacaan itu sengaja ditulis ringkas, maklumat diperoleh tidak mendalam, kebanyakannya berpandukan sesuatu isu yang kadangkala remeh dan tidak menjawab permasalahan sebenar, bersifat segera dan cepat dilupakan serta pengetahuan diperoleh berpecah-pecah.
Pada era ‘gangguan’ kini, daya perhatian ialah suatu yang premium. Kemampuan membaca satu persatu perkataan tanpa melakukan ‘skimming’ terhadap karangan sengaja ditulis panjang ini menunjukkan diri pembaca berada dalam kalangan pembaca bertuah masih berkemahiran memberi daya tumpuan perhatian sewajarnya.
Pemenang Hadiah Nobel, Herbert Simon pernah meramalkan kekayaan maklumat akan mewujudkan kemiskinan perhatian dan tidak dinafikan, ia sedang berlaku ketika ini. Kemampuan meredakan perhatian singkat sudah pasti adalah dengan kembali membaca karangan panjang dan mendalam.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Sumber: Berita Harian