fbpx

Status Pulau Pinang termaktub dalam Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang tidak sewajarnya timbul, berpaksikan kedudukan Pulau Mutiara sebagai satu daripada negeri dalam Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-Undang), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata perkara itu termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang Perjanjian Persekutuan 1948 dan 1957.

Katanya, undang-undang itu jelas menyatakan semua status negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan disusuli Persekutuan Malaya serta Malaysia, termasuk Pulau Pinang.

“Kedudukan Pulau Pinang jelas sebagai negeri dalam Persekutuan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Isu tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang yang diutarakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung Pulau Pinang milik Kedah hanya satu bentuk retorik politik,” katanya kepada BH, semalam.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah hak Kedah dan ia hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Perjanjian Persekutuan 1948 adalah persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Perjanjian itu penting kerana ia memansuhkan pelaksanaan Malayan Union dan menyatukan negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk kali pertama, manakala kedudukan Raja-Raja Melayu dikembalikan.

Mengikut Perjanjian Persekutuan 1957, kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu akan diisytihar pada 31 Ogos 1957 yang menyatukan negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan.

Nik Ahmad Kamal berkata, dakwaan Pulau Pinang milik Kedah itu tidak berkaitan dengan mana-mana kesalahan berkaitan seperti Akta Hasutan atau bertentangan dengan undang-undang negara.

Jika wujud isu sebenar mengenai sempadan Kedah-Pulau Pinang, beliau berkata, ia wajar dikemukakan dalam forum lebih sesuai.

“Saya nasihatkan elak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh merangsang polemik berterusan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews