fbpx

Lelaki 20 tahun tak mengaku rogol wanita 71 tahun

KAJANG: Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana merogol wanita warga emas berusia 71 tahun di sebuah rumah, dua bulan lalu.

Bagaimanapun, R Vasant Raj, 20, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu merogol wanita berkenaan dan mengacukan sebilah pisau hingga mendatangkan ketakutan kematian ketika kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Asa Jaya, Kajang, jam 4 petang, 15 April lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Vasant Raj yang tidak diwakili peguam merayu jumlah supaya jaminan ditawarkan itu dikurangkan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

“Syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak menganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Sebutan semula kes ditetapkan 7 Julai depan.

Media melaporkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata lelaki berkenaan ditahan pada 25 Mei lalu, susulan laporan dibuat mangsa.

Wanita berusia 71 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 6.41 petang, 15 April lalu, mendakwa dirogol seorang lelaki yang didapati ada tiga rekod jenayah.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts